Skip to main content

Dunia

Kabinet M'sia tidak pernah bincang tawaran PAS sertai Kerajaan Perpaduan

Anggaran Waktu Membaca:
Kabinet M'sia tidak pernah bincang tawaran PAS sertai Kerajaan Perpaduan

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Malaysia Nga Kor Ming. (Gambar: BERNAMA)

SEKINCHAN: Kabinet Malaysia setakat ini tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan mahupun tawaran terhadap parti PAS untuk menyertai Kerajaan Perpaduan.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming menyifatkan dakwaan Presiden PAS Abdul Hadi Awang menerima tawaran daripada kerajaan untuk PAS bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan sebagai satu cerita dongeng dan rekaan pemimpin tersebut.

“Saya sahkan satu perkara, Kabinet tidak pernah bincang dan tidak ada seorang pun pemimpin senior yang menawar dan menjemput PAS untuk sertai (Kerajaan Perpaduan). 

“Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) dan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof pun nafi (dakwaan Abdul Hadi),” katanya yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP kepada wartawan selepas lawatan kerjanya di sekitar Pekan Sekinchan pada Rabu (31 Mei). 

Sementara itu, ketika mengulas dakwaan dan khabar angin berkaitan akan berlaku pertukaran pentadbiran kerajaan negeri Perak Julai depan, Encik Nga yang juga Pengerusi DAP Perak memaklumkan perkara sedemikian tidak akan berlaku.

"Pilihan Raya Negeri (PRN) Perak lima tahun lagi iaitu pada 2027. Namun PRN Selangor, dua bulan lagi. Itu saya tahu dan itu memang sudah sah," katanya. 

Sebelum ini Ketua Pembangkang Perak Razman Zakaria yang mendakwa beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan ada datang berjumpanya ketika khabar angin wujud gerakan untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan di negeri itu.  

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita