Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kabinet M'sia setuju pinda perlembagaan berkaitan kerakyatan anak lahir di luar negara

Anggaran Waktu Membaca:

PUTRAJAYA: Jemaah Menteri pada Jumaat (17 Feb) bersetuju dengan cadangan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing mendapat kerakyatan Malaysia.  

Perkara itu dikongsikan dalam satu kenyataan bersama hari ini (18 Feb) oleh Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, yang berkata Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2023 itu dijangka dibentangkan dalam persidangan Parlimen kali ini setelah memenuhi kehendak undang-undang.

Mereka berkata pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan itu melibatkan seksyen 1(1)(d) dan seksyen 1(1)(e) Bahagian I dalam Jadual Kedua serta Seksyen 1(b) dan Seksyen 1 (c) Bahagian II dalam jadual sama. 

"Cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan mengenai perkara ini adalah untuk menggantikan perkataan 'bapanya' dalam Bahagian I dan Bahagian II Jadual Kedua dengan perkataan 'sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya' bagi membolehkan ibu warganegara Malaysia mendapat hak seadilnya menurut Perlembagaan Persekutuan.

"Bagaimanapun, pindaan yang lain berkaitan kewarganegaraan terutamanya Bahagian III akan dikaji dengan lebih terperinci oleh jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri setelah cadangan pindaan itu dimuktamadkan dengan mengambil kira libat urus dengan semua pihak yang berkepentingan," menurut kenyataan itu lanjut. 

Kedua-dua menteri juga berkata perkara berkenaan sejajar dengan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk mengiktiraf kesamarataan wanita dan lelaki, menyingkirkan diskriminasi terhadap wanita di Malaysia, selain mengatasi kelemahan peruntukan kewarganegaraan yang timbul dan menyelesaikan lambakan kes tertunggak bagi wanita yang terkesan yang memohon kewarganegaraan anak mereka.

"Kesan daripada keputusan ini adalah anak yang lahir di luar negara sebelum atau selepas Hari Malaysia yang mana sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya adalah warganegara Malaysia, berhak mendapat kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang Fasal (1) Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan," katanya. 

Sementara itu, kenyataan itu turut menyebut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri dan KDN mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim serta barisan Kabinet kerana merealisasikan komitmen negara terhadap kesaksamaan jantina dan memenuhi hak terhadap kanak-kanak.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan