Skip to main content

Dunia

Kabinet Malaysia bincang isu pengampunan Najib, tetapi bukan bidang kuasanya untuk umum keputusan, kata Menteri

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Malaysia, Saifuddin Nasution Ismail berkata Kabinet negara itu dimaklumkan sepintas lalu mengenai pengampunan mantan Perdana Menteri, Najib Tun Razak.

Menurutnya, perkara tersebut dimaklumkan ketika Mesyuarat Kabinet pada Rabu (31 Jan).

"(Kabinet) dimaklumkan sepintas lalu, tapi bukan bidang kuasa Kabinet untuk (umum).

"Kita faham ini bawah (Lembaga Pengampunan) sebab pengampunan ini seperti dalam perlembagaan, ia jelas di bawah bidang kuasa siapa, keanggotaannya bagaimana.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada mesyuarat Kabinet membincangkan mengenai keputusan Lembaga Pengampunan berhubung pengampunan Najib, susuli wujudnya desas-desus berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, sebelum ini juga dipetik berkata, "Tunggu kenyataan rasmi daripada Lembaga Pengampunan".
Kenyataannya itu mencetuskan spekulasi media, dengan sebuah akhbar berbahasa Melayu terkemuka terpaksa menarik balik laporan yang memetik sumber mengatakan bahawa Najib telah diberikan pengampunan penuh.

Peguam dan wakil Najib, serta peguam negara Malaysia, ahli lembaga pengampunan, tidak menjawab permintaan Reuters untuk mendapatkan komen.

Pegawai pada Rabu enggan mengulas mengenai laporan lanjut.

“Saya minta bantuan semua, janganlah kita bertindak sebelum masanya dan tunggu kenyataan rasmi dikeluarkan.

"Patuhi proses itu, kalau tidak nanti timbul pelbagai reaksi,” kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dalam sidang media berasingan hari ini.

"Kita perlu tunjuk profesionalisme dalam buat laporan."

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu sekali lagi mengingatkan pengamal media tempatan dan luar negara untuk menunggu kenyataan rasmi Lembaga Pengampunan sebelum membuat laporan berhubung permohonan pengampunan Najib.

Encik Fahmi berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media antarabangsa Channel NewsAsia  (CNA) bahawa Najib telah diberikan pengurangan hukuman daripada 12 kepada enam tahun.

Media itu, yang memetik sumber termasuk pegawai kanan kerajaan, melaporkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Najib atas pertuduhan rasuah dikurangkan kepada enam tahun oleh Lembaga Pengampunan selepas bermesyuarat pada Isnin lepas.

Selain itu, keputusan Lembaga Pengampunan yang diketuai Yang di-Pertuan Agong menyaksikan pengurangan denda RM210 juta (S$63 juta) kepada jumlah yang tidak ditentukan, demikian menurut tiga sumber yang bercakap kepada CNA dengan syarat kerahsiaan ketat.

Encik Fahmi juga berkata beliau telah bertemu dengan wartawan CNA berikutan laporan itu.

Ditanya bila kenyataan rasmi Lembaga Pengampunan akan dikeluarkan, beliau berkata “kita harap tidak lama lagi, itu sahaja yang dapat saya katakan… anda dan saya perlu tunggu.”
Sumber : Bernama/SU/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita