Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kabinet M'sia serah surat letak jawatan kepada Agong

Kabinet Malaysia sudah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Agong, kata seorang menteri kabinet pada Isnin (16 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Kabinet M'sia serah surat letak jawatan kepada Agong

Istana Negara Malaysia. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 16 Aug 2021 02:26PM Dikemas Kini : 16 Aug 2021 02:27PM

KUALA LUMPUR: Kabinet Malaysia sudah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Agong, kata seorang menteri kabinet pada Isnin (16 Ogos).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin mengesahkan perkara itu di Instagram dengan menulis: "Kabinet sudah menyerahkan surat peletakan jawatan kami kepada Agong. Terima kasih atas peluang untuk, sekali lagi, berkhidmat kepada negara. Semoga Allah merahmati Malaysia".

Pada pagi Isnin, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mempengerusikan satu mesyuarat Kabinet sebelum mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Peletakan jawatan Encik Muhyiddin dilakukan di tengah-tengah kemelut kuasa politik di Malaysia.

Awal bulan ini, beberapa anggota Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), yang diterajui oleh presiden parti Ahmad Zahid Hamidi, menarik balik sokongan mereka terhadap Encik Muhyiddin sekali gus menjejaskan kuasa majoritinya dalam Parlimen yang sudahpun terlalu tipis.

Pada mulanya, perdana menteri menegaskan bahawa beliau masih mempunyai kuasa majoriti parlimen dan berikrar akan membuktikan keabsahannya melalui usul yakin yang dijadual dibentangkan di parlimen pada 7 September.

Pada Jumaat lalu, Encik Muhyiddin tampil dalam ucapan yang disiarkan di televisyen, cuba mendapatkan sokongan pihak pembangkang untuk menyelamatkan kerajaan pimpinannya.

Bagaimanapun, usul itu ditolak oleh Pakatan Harapan (PH) yang sebaliknya menyatakan bahawa langkah tersebut pada dasarnya adalah pengakuan terbuka Encik Muhyiddin yang beliau telah kehilangan sokongan daripada majoriti Dewan Rakyat. Blok pembangkang pula menggesa agar beliau mengundurkan diri.

UMNO juga menyatakan ia tidak akan menimbangkan tawaran daripada "seorang yang tidak lagi memiliki kuasa" sambil menambah bahawa tawaran Encik Muhyiddin boleh disifatkan sebagai satu "rasuah terbuka".

Encik Muhyiddin adalah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang memimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan Malaysia pada 1 Mac 2020 menyusuli satu pergolakan kuasa yang menyaksikan beliau menarik Bersatu keluar daripada PH yang memerintah ketika itu, lantas menyebabkan keruntuhan PH.

Sepanjang memegang jawatan selama 17 bulan selaku perdana menteri, Encik Muhyiddin dikutuk oleh sesetengah pihak sebagai gagal menerajui kerajaan Malaysia secara berkesan dalam menangani pandemik COVID-19.

Malaysia kini dicengkam gelombang COVID-19 yang memudaratkan dengan jumlah jangkitan harian menjangkaui 20,000 kes.

Secara keseluruhannya, Malaysia menyaksikan lebih 1.4 juta kes COVID-19 dan lebih 12,000 kematian akibat koronavirus itu.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan