Skip to main content

Dunia

Kabinet Jepun luluskan belanjawan pertahanan lebih ¥9 trilion untuk kekang China

Kabinet Jepun pada Jumaat (26 Dis) meluluskan pelan belanjawan pertahanan melebihi ¥9 trilion (S$74.51 bilion), satu rekod bagi negara tersebut, untuk tahun akan datang, dengan matlamat memperkukuh keupayaan serangan balas serta pertahanan kawasan pantai melalui peluru berpandu jenis cruise dan senjata tanpa pemandu, sedang ketegangan serantau meningkat.
Anggaran Waktu Membaca:
Kabinet Jepun luluskan belanjawan pertahanan lebih ¥9 trilion untuk kekang China
Pelancar peluru berpandu kelihatan semasa upacara perasmian satu rejimen peluru berpandu Pasukan Pertahanan Diri Darat Jepun di Uruma, Okinawa, pada 30 Mac 2024. (Gambar fail: AP/Kyodo News)
TOKYO: Kabinet Jepun pada Jumaat (26 Dis) meluluskan pelan belanjawan pertahanan melebihi ¥9 trilion (S$74.51 bilion), satu rekod bagi negara tersebut, untuk tahun akan datang, dengan matlamat memperkukuh keupayaan serangan balas serta pertahanan kawasan pantai melalui peluru berpandu jenis cruise dan senjata tanpa pemandu, sedang ketegangan serantau meningkat.

Draf belanjawan bagi tahun fiskal 2026 yang bermula pada April itu meningkat 9.4 peratus berbanding 2025 dan menandakan tahun keempat program lima tahun Jepun sedang dijalankan untuk menggandakan perbelanjaan senjata tahunan kepada dua peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP).

Peningkatan itu berlaku sedang Jepun berdepan ketegangan yang semakin memuncak dari China. Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi berkata pada November bahawa tenteranya mungkin dilibatkan sekiranya China mengambil tindakan terhadap Taiwan, pulau yang diperintah sendiri dan didakwa Beijing mesti berada di bawah pemerintahannya.

Pemerintah Cik Takaichi, di bawah tekanan Amerika Syarikat untuk meningkatkan perbelanjaan ketenteraan, berikrar mencapai sasaran dua peratus menjelang Mac, dua tahun lebih awal daripada perancangan asal. Jepun juga merancang untuk menyemak semula dasar keselamatan dan pertahanannya yang sedia ada menjelang Disember 2026 untuk terus memperkukuhkan tenteranya.

PELURU BERPANDU DAN DRON PERKUKUH PERTAHANAN KEPULAUAN BARAT DAYA

Pelan belanjawan baharu itu memperuntukkan lebih ¥970 bilion (S$7.96 juta) untuk meningkatkan keupayaan peluru berpandu “standoff” Jepun. Ia termasuk pembelian bernilai ¥177 bilion (S$1.45 juta) bagi peluru berpandu permukaan-ke-kapal Jenis-12 yang dibangunkan dan dinaik taraf di dalam negara, yang mampu mencapai sasaran sejauh kira-kira 1,000km.

Kumpulan pertama peluru berpandu Jenis-12 akan dikerahkan ke wilayah Kumamoto di barat daya Jepun menjelang Mac, setahun lebih awal daripada yang dirancang, sedang Jepun mempercepat pembangunan keupayaan peluru berpandunya di rantau tersebut.

Strategi keselamatan semasa menamakan China sebagai cabaran strategik terbesar Jepun dan menyeru agar keupayaan Pasukan Pertahanan Diri Jepun untuk menyerang diperkukuhkan di bawah pakatan keselamatan dengan Amerika Syarikat.

Disebabkan sebahagian faktor seperti penduduk Jepun yang semakin menua dan merosot, serta kekurangan anggota tentera, pemerintah Jepun percaya senjata tanpa pemandu adalah penting.

Bagi mempertahankan kawasan pesisir pantai, Jepun akan membelanjakan ¥100 bilion (S$821 juta) untuk mengerahkan dron tanpa pemandu "berskala besar" di udara, permukaan laut dan bawah air bagi tujuan pengawasan dan pertahanan di bawah satu sistem yang dikenali sebagai SHIELD, yang dirancang menjelang Mac 2028, menurut pegawai kementerian pertahanan.

Bagi mempercepatkan pengerahan, Jepun pada peringkat awal merancang untuk bergantung terutamanya kepada drone yang import, berkemungkinan dari Turki atau Israel.
Sumber : AP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita