Skip to main content

Dunia

K Shanmugam sokong keprihatinan mendalam mantan Presiden Halimah Yacob terhadap perang di Gaza

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 26 Feb 2024 03:49PM Dikemas Kini : 26 Feb 2024 11:37PM
SINGAPURA: Apa yang berlaku di Gaza, sedang masyarakat antarabangsa berusaha sedaya upaya untuk memeterai gencatan senjata antara Israel dan Hamas, yang sejauh ini masih belum meraih sebarang kemajuan yang ketara, dikhuatiri akan melemahkan nilai-nilai manusiawi.

"Undang-undang antarabangsa dan badan-badan bertaraf dunia menjadi tidak relevan. (Bahkan), kesepakatan yang dicapai selepas peristiwa ngeri Perang Dunia Kedua ​untuk melindungi orang awam yang tidak bersalah semasa peperangan, sudah dikompromi dengan begitu ketara sekali."

Mantan Presiden Halimah Yacob meluahkan keprihatinan yang mendalam itu dalam catatannya di Facebook pada Ahad (25 Feb).
Keprihatinan beliau malah, disokong oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam, yang turut mengongsi catatan Puan Halimah pada laman Facebooknya hari ini (26 Feb), sambil menyifatkan pandangan Puan Halimah itu sebagai "satu pengamatan yang jujur dan sangat meruntun perasaan".
Prospek untuk memeterai sebarang gencatan senjata masih samar-samar sekalipun rundingan giat dijalankan antara para pengantara dari Amerika Syarikat, Mesir, Qatar dan Israel di Paris baru-baru ini.

Perang Israel-Hamas, yang telah berlarutan selama hampir lima bulan, meragut hampir 30,000 nyawa orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak.

Bukan itu sahaja, prasarana hospital, tempat jagaan kesihatan awam, rumah, bekalan tenaga, sekolah, jalan raya dan infrastruktur awam yang lain turut punah-ranah.

Para penduduk Palestin kehilangan tempat berteduh, sedang tentera Israel terus-menerus melancarkan serangan demi serangan di Rafah, yang terletak di bahagian selatan Gaza.

Malah, mereka sebelum ini telah diarahkan supaya meninggalkan bahagian utara Gaza, di mana sesetengah daripada mereka terbunuh dalam usaha mencari tempat-tempat perlindungan yang selamat.

Dalam catatannya, Puan Halimah turut menarik perhatian bahawa naluri semula jadi manusia adalah untuk melindungi mereka yang lemah dan mudah terdedah (kepada bahaya).

"Apa yang berlaku pada nilai-nilai manusiawi ini? Selepas ia berakhir, adakah orang yang sama dapat hidup dengan hati nurani mereka sambil mengetahui bahawa mereka telah menyumbang kepada kemusnahan dan kematian beribu-ribu nyawa yang tidak bersalah?" luah Puan Halimah.

Sebelum mengakhiri catatannya itu, Puan Halimah menyeru kepada seluruh dunia supaya "berdiri di pihak kemanusiaan".
Sumber : BERITA Mediacorp/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita