Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jutaan rakyat India mengundi dalam pilihan raya negeri

 Berjuta-juta rakyat India keluar mengundi dalam pilihan raya negeri pada Rabu (28 Okt). Ia menjadi pilihan raya terbesar di dunia sejak COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Jutaan rakyat India mengundi dalam pilihan raya negeri

(Gambar: AFP/Prakash SINGH)

Diterbitkan : 28 Oct 2020 10:04PM Dikemas Kini : 28 Oct 2020 10:07PM

PATNA: Berjuta-juta rakyat India keluar mengundi dalam pilihan raya negeri pada Rabu (28 Okt). Ia menjadi pilihan raya terbesar di dunia sejak COVID-19.

Pondok-pondok mengundi penuh sesak dan ramai yang mengabaikan nasihat pemerintah supaya memakai pelitup dan mengamalkan jarak selamat.

Seramai 70 juta orang layak mengundi di Bihar, negeri di bahagian timur yang ditadbir pakatan termasuk Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi, yang menjanjikan vaksin percuma untuk setiap orang di negeri itu jika menang.

Pilihan raya tersebut diadakan ketika India, negara kedua paling banyak dijangkiti COVID-19 di dunia, mencatat antara 40,000 dengan 50,000 kes baru setiap hari dan dijangka melepasi lapan juta kes jangkitan.

"Saya agak takut kerana COVID-19 (virus) bukan penyakit kecil," kata Nidhi Kumari, seorang pelajar berusia 21 tahun yang beratur untuk mengundi di pinggir ibu kota Patna.

"Tetapi ada tindakan pencegahan di bilik mengundi. Mereka memberikan sanitizer dan sarung tangan."

Pengundian di Bihar dibahagikan kepada tiga hari - Rabu, 3 November dan 7 November - untuk mengurangkan kesesakan di tempat mengundi.

Pesakit COVID-19 dibenar mengundi di bawah pengawasan pihak kesihatan.

Encik Modi yang mengadakan beberapa rapat di seluruh negeri menjelang pilihan raya merayu kepada pengundi hari ini "supaya mengambil semua langkah berjaga-jaga terhadap COVID-19 semasa mengambil bahagian dalam pesta demokrasi ini'.

Namun, di sebuah pondok mengundi yang dikunjungi AFP, pengundi berbaris panjang dalam kedudukan yang rapat dan hanya beberapa dilihat memakai pelitup.

Pihak berkuasa telah berusaha untuk memastikan jarak selamat dan pemakaian pelitup semasa rapat-rapat pilihan raya di seluruh negara yang telah menarik puluhan ribu orang.

Pilihanraya negeri itu adalah yang pertama di India sejak PM Modi melaksanakan langkah kurungan ketat pada akhir Mac yang menyebabkan berjuta-juta pekerja pendatang miskin, kebanyakannya dari Bihar, kehilangan pekerjaan mereka dengan sebahagian terpaksa berjalan kaki selama berhari-hari atau berminggu-minggu untuk pulang.

Bihar, salah satu negeri termiskin di India, telah diperintah oleh pakatan BJP pimpinan Encik Modi dan parti Janta Dal United selama lebih sedekad. 

Sumber : AFP/SU/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan