Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Juruterbang Ethiopian Airlines ikut prosedur kecemasan Boeing sebelum terhempas: Laporan

Para juruterbang pesawat Ethiopian Airlines 737 MAX yang terhempas bulan lalu, pada mulanya mematuhi prosedur-prosedur kecemasan Boeing tetapi masih gagal mengawal pesawat itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Juruterbang Ethiopian Airlines ikut prosedur kecemasan Boeing sebelum terhempas: Laporan

Juruterbang Ethiopian Airlines ikut prosedur kecemasan Boeing sebelum terhempas. (Gambar: Tiksa Negeri/Reuters)

Diterbitkan : 03 Apr 2019 04:52PM Dikemas Kini : 03 Apr 2019 04:57PM

ADDIS ABABA: Para juruterbang pesawat Ethiopian Airlines 737 MAX yang terhempas bulan lalu, pada mulanya mematuhi prosedur-prosedur kecemasan Boeing tetapi masih gagal mengawal pesawat itu. Demikian menurut laporan Wall Street Journal pada Rabu.

Nahas pesawat itu mengorbankan kesemua 157 penumpang dan kru, serta menyebabkan khidmat pesawat-pesawat 737 MAX di merata dunia digantung.

Boeing telah mengeluarkan garis panduan kepada para juruterbang untuk mematikan sistem automatik yang mencegah pesawat dari kehilangan daya angkat, ekoran nahas pesawat di Indonesia yang mengorbankan semua penumpang lima bulan sebelumnya.

Laporan Wall Street Journal menukil beberapa orang yang dimaklumkan tentang hal tersebut bahawa para juruterbang pada mulanya mematikan sistem kawalan automatik dipanggil MCAS. Sistem tersebut menyebabkan muncung pesawat itu menjunam ke bawah sejurus selepas ia berlepas dari Addis Ababa.

Para juruterbang kemudian cuba menstabilkan pesawat itu secara manual, menurut laporan.

Namun akhirnya mereka mengambil keputusan untuk memulihkan kuasa pesawat seperti biasa, mungkin kerana percubaan manual itu tidak berjaya.

Kuasa elektrik yang dipulihkan semula itu menghidupkan semula MCAS dan mengakibatkan pesawat itu terus menjunam, menurut akhbar tersebut.

Satu laporan awal mengenai nahas itu belum lagi didedahkan oleh para penyiasat Habsyah.

Jurucakap Kementerian Pengangkutan Habsyah, Musie Yehyies berkata pihaknya tiada rancangan untuk mengeluarkan laporan itu pada Rabu. Laporan tersebut dijangkakan dalam tempoh 30 hari selepas kejadian pada 10 Mac di bawah undang-undang antarabangsa berkenaan siasatan-siasatan pesawat yang terhempas. 

Sumber : Reuters/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan