Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jururawat, suri rumah di M'sia didakwa perdagangkan bayi berusia 9 hari

Dua wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Malaysia pada Rabu (25 Jan) atas pertuduhan memperdagangkan seorang bayi perempuan pada 2020.

Anggaran Waktu Membaca:

IPOH: Dua wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Malaysia pada Rabu (25 Jan) atas pertuduhan memperdagangkan seorang bayi perempuan pada 2020.

Jururawat Noor Azlina Mohd Nasir, 41, dan suri rumah D. Murugamal, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Noor Azlina yang merupakan jururawat sebuah hospital di Alor Setar, Kedah dan Murugamal yang beralamat di Pulau Pinang didakwa bersama-sama untuk mencapai niat sama memperdagangkan seorang bayi perempuan berusia sembilan hari iaitu sejenis eksploitasi yang menyalahi undang-undang.

Kesalahan itu dilakukan di kawasan letak kenderaan berdekatan sebuah hospital swasta di Manjung, Perak, kira-kira pukul 12 tengah hari pada 18 Jun 2020.

Pertuduhan adalah di bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan boleh dihukum dengan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Evangelin Simon Silvaraj menawarkan jaminan RM15,000 (S$4,626) manakala peguam Mohd Firdaus Mohd Farouk yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan rendah ke atas Noor Azlina yang merupakan ibu kepada lima anak dan Murugamal yang tidak bekerja serta sakit jantung dan kencing manis, atas alasan mereka hadir ke mahkamah mengikut tarikh ditetapkan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM10,000 (S$3,084) dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan