Jururawat Jerman racun 5 bayi dengan morfin
Seorang jururawat di Jerman ditahan kerana disyaki meracun lima bayi baru lahir dengan morfin. Mujur semua bayi itu dalam keadaan selamat, menurut polis pada Khamis (30 Jan).
(Gambar hiasan: Unsplash)
FRANKFURT: Seorang jururawat di Jerman ditahan kerana disyaki meracun lima bayi baru lahir dengan morfin. Mujur semua bayi itu dalam keadaan selamat, menurut polis pada Khamis (30 Jan).
Wanita itu ditahan selepas siasatan menemui picagari mengandungi susu ibu dan kesan morfin dalam almarinya di Hospital Universiti Ulm di selatan Jerman.
Ketua Polis Ulm, Bernhard Weber, berkata semua bayi pramatang dan baru lahir itu, yang berusia satu hari hingga lima minggu, berada di bilik hospital yang sama dan mengalami masalah pernafasan secara tiba-tiba "hampir serentak" pada 20 Disember lalu.
“Hanya disebabkan oleh tindakan pantas kakitangan hospital, kesemua lima bayi itu berjaya diselamatkan,” katanya dalam satu sidang media.
Para doktor tidak menjangkakan bayi-bayi tersebut akan berdepan masalah kesihatan yang berkekalan. Jururawat wanita itu bagaimanapun menafikan meracuni bayi berkenaan.
Pendakwa raya Ulm, Christof Lehr, memberitahu para wartawan, jururawat muda yang ditahan itu belum didakwa secara rasmi tetapi berdepan lima tuduhan cubaan membunuh dan menyebabkan kecederaan.
Kakitangan hospital pada mulanya mengesyaki bayi-bayi tersebut mengalami jangkitan, namun ia diketepikan selepas keputusan ujian air kencing menunjukkan negatif pada 16 Januari, menurut ketua pediatrik hospital itu, Encik Klaus-Michael Debatin.
Ujian tersebut bagaimanapun menunjukkan kesan-kesan morfin, meskipun dua daripada bayi berkenaan tidak sepatutnya untuk diberikan ubat tahan sakit yang kuat itu.
Hospital tersebut memaklumkan pihak polis keesokan harinya, pada 17 Januari.
Satu picagari yang dipenuhi dengan "susu ibu" ditemui apabila satu siasatan dijalankan di almari milik enam kakitangan yang bertugas ketika insiden itu berlaku, menurut pendakwa Lehr. Picagari itu kemudian disahkan mengandungi morfin,” kata Encik Lehr.
Satu waran tangkapan kemudian dikeluarkan bagi wanita yang memiliki lokar tersebut, kerana disyaki "atas percubaan membunuh".
Pihak pendakwa mempercayai bahawa dia merancang perkara itu terlebih dahulu dan "sedar bahawa bayi-bayi itu boleh meninggal dunia" disebabkan oleh tindakannya, kata Encik Lehr.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.