Skip to main content

Dunia

Jurulatih selam warga asing yang ditemukan selamat di Mersing masih trauma

Anggaran Waktu Membaca:
Jurulatih selam warga asing yang ditemukan selamat di Mersing masih trauma

Gambar: CNA/Amir Yusof

Diterbitkan : 08 Apr 2022 04:11PM

MERSING: Jurulatih selam warga Norway, Kristine Grodem yang ditemukan selamat di perairan Tanjung Sedili, Kota Tinggi pada Khamis (7 Apr) masih berada dalam keadaan trauma.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superitendan Cyril Edward Nuing berkata siasatan menyeluruh tidak dapat dilakukan berikutan keadaan Grodem, 35 tahun, masih lemah dan tidak stabil.

"Kita masih tidak membuat siasatan yang menyeluruh disebabkan keadaannya yang lemah dan masih dalam keadaan trauma.

"Semalam, saya dengan pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjumpa dengannya, dia masih dalam keadaan tidak stabil untuk memberi kerjasama," kata beliau pada sidang media di Pangkalan Hadapan Carilamat di Jeti Awam Majlis Daerah Mersing, di Mersing, pada Jumaat (8 Apr).

Sementara itu, Superitendan Cyril turut menegaskan kepada masyarakat agar tidak mengeluarkan sebarang spekulasi ataupun fakta tidak tepat berhubung insiden terbabit yang dikhuatiri mengganggu proses pencarian.

"Spekulasi atau fakta tidak tepat (boleh) mengganggu dalam proses pencarian kami dan juga keluarga mangsa dan kita tidak mahu perkara seperti itu berlaku.

"Sekiranya dikesan ada berlaku keadaan sedemikian termasuk menyebarkan berita-berita palsu yang (dikhuatiri) mengganggu penyiasatan kami ataupun berita tidak benar, pihak polis akan mengambil tindakan," tegasnya.

Dalam kejadian pada tengah hari Rabu (6 Apr), empat penyelam warga asing dilaporkan hilang ketika menyelam di perairan Pulau Tokong Sanggol, kira-kira sembilan batu nautika dari Tanjung Leman, di Mersing.

Usaha mencari tiga lagi penyelam iaitu Alexia Alexandra Molina (18 tahun, warga Perancis); Adrian Peter Chesters (46 tahun, warga British) dan anaknya, Nathen Renze Chesters (14 tahun, warga Belanda), diteruskan hari ini.

Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita