Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jurulatih penerbangan maut dalam nahas pesawat ringan di Ipoh selamat dikebumikan

Anggaran Waktu Membaca:
SEMENYIH: Jenazah jurulatih penerbangan Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52 tahun, yang terkorban dalam kejadian pesawat ringan terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah, Ipoh, Perak, pada Isnin (1 Ogos) selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tasik Kesuma di Semenyih pada pukul 7.26 malam.

Jenazah allahyarham terdahulu dibawa ke kediaman kakaknya, Fajura Juffa, 54 tahun, di Bandar Tasik Kesuma di Semenyih pada pukul 5.41 petang untuk ditatap buat kali terakhir oleh ahli keluarga. Jenazah kemudian dibawa ke Surau Al Kauthar yang terletak kira-kira 20 meter dari rumah berkenaan untuk disembahyangkan.

Kira-kira 500 ahli keluarga dan rakan-rakan termasuk anggota TUDM menziarahi allahyarham di surau berkenaan termasuk Panglima Angkatan Tentera Jeneral Affendi Buang.

Insiden kira-kira pukul 8.00 malam pada Isnin (1 Ogos) mengakibatkan Fajim Juffa, yang pernah bertugas dalam pasukan TUDM sebelum bersara pada 2018, meninggal dunia.

Sementara itu, Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62 tahun, dari Bukit Damansara, Kuala Lumpur, cedera dan berada dalam keadaan stabil.

Kedua-dua jurulatih penerbangan itu dilaporkan bertolak dari sekolah latihan kapal terbang yang terletak berhampiran sebelum kejadian.

Cik Fajura berkata kali terakhir beliau berjumpa adiknya itu adalah pada hari Ahad lalu (31 Jul) sebelum adiknya pulang ke Ipoh.

Beliau berkata adiknya itu banyak menghabiskan masa di Ipoh, menjadi jurulatih penerbangan dan hanya pulang ke rumahnya di Eco Majestic Semenyih setiap hujung minggu.

"Ia merupakan kebiasaan untuk beliau menziarahi saya setiap hujung minggu kerana kami hanya tiga beradik dan yang bongsu tinggal di luar negara.

"Pada hari terakhir kami berjumpa, beliau tidak menunjukkan sebarang perubahan dan tetap ceria seperti biasa. Ketika kami menerima khabar bahawa beliau terlibat dalam kemalangan berkenaan, saya amat terkejut," katanya ketika diwawancara.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan