Skip to main content

Dunia

Jurucakap Hezbollah maut dalam serangan Israel di Beirut

Anggaran Waktu Membaca:
 Jurucakap Hezbollah maut dalam serangan Israel di Beirut

(Gambar fail: Anwar AMRO / AFP)

Diterbitkan : 18 Nov 2024 07:16AM Dikemas Kini : 18 Nov 2024 07:18AM
BEIRUT: Seorang lagi pegawai kanan Hezbollah terbunuh dalam serangan udara Israel di Lubnan.

Ketua Perhubungan Media kumpulan itu, Mohammed Afif terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas sebuah bangunan di kawasan Ras al-Nabba di tengah ibu kota Beirut, pada Ahad (17 Nov).

Kedua-dua, tentera Israel dan Hezbollah telah mengesahkan kematian Afif.

Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan seorang terbunuh dan 14 lagi cedera dalam serangan itu.

Ramai rakyat Lubnan yang telah berlindung di kawasan kejiranan berkenaan kehilangan tempat tinggal akibat serangan berterusan Israel di pinggir selatan Beirut itu.

Tentera Israel tidak secara rasmi mengarahkan kawasan itu dikosongkan sebelum melancarkan serangan maut itu.

“Jelas sekali, ini adalah kesinambungan dasar Israel untuk mengejar bukan sahaja sayap tentera Hezbollah, tetapi juga pegawai dalam bahagian pentadbiran organisasi itu,” kata Dorsa Jabbari dari Al Jazeera.

"Apa yang cuba dilakukan oleh Israel ialah mengurangkan keupayaan kumpulan itu dalam semua aspek: ekonomi, sosial, politik dan ketenteraan."

Israel jarang menyerang bahagian tengah Beirut ataupun pegawai kanan Hezbollah yang tiada peranan ketenteraan yang jelas.

Allahyarham Afif adalah antara pegawai Hezbollah yang dekat dengan bekas ketua kumpulan itu, Hassan Nasrallah yang terbunuh dalam serangan Israel di selatan Beirut pada September lalu.

Selama bertahun-tahun Encik Afif menjadi pegawai perhubungan media Hezbollah yang memberi maklumat kepada wartawan tempatan dan asing.

Beliau juga pernah mengendalikan beberapa sidang media di tengah-tengah runtuhan di pinggir selatan ibu kota yang musnah akibat pengeboman Israel berminggu-minggu.

Dalam kenyataan terakhirnya yang dikongsi dengan wartawan pada 11 November lalu, beliau berkata, tentera Israel tidak dapat menduduki mana-mana wilayah di Lubnan dan Hezbollah mempunyai senjata dan bekalan yang mencukupi untuk memerangi "perang yang panjang."

Pembunuhan Mohammad Afif merupakan yang terbaharu dalam rentetan pembunuhan pemimpin tertinggi Hezbollah, termasuk ketuanya, Hassan Nasrallah, sejak Israel secara mendadak meningkatkan serangannya di seluruh Lubnan pada akhir September selepas setahun berbalas tembakan di sepanjang sempadan.

Hassan Nasrallah dibunuh dalam serangan Israel ke atas sebuah bangunan kediaman di kawasan kejiranan Dahiyeh di selatan Beirut pada akhir September lalu.

Israel turut menyerang kawasan penempatan penduduk di Mar Elias di tengah Beirut, membunuh sekurang-kurangnya dua orang dan mencederakan 22 yang lain.

Agensi Berita Nasional Lubnan mengatakan sasaran serangan itu adalah sebuah pusat kumpulan Jemaah Islamiyah yang bersekutu dengan Hezbollah dan kumpulan Hamas.

Namun seorang anggota parlimen Jemaa Islamiyah menafikan ada institusi kumpulan itu di kawasan berkenaan.
Sumber : Agensi berita/SU/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita