Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jurang kemajuan di Kelantan makin besar jika tiada perubahan pentadbiran, kata Timbalan Presiden PKR

Anggaran Waktu Membaca:
Jurang kemajuan di Kelantan makin besar jika tiada perubahan pentadbiran, kata Timbalan Presiden PKR

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli (Gambar: Rafizi Ramli/Facebook)

KOTA BHARU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) melihat keperluan pihaknya menangani perubahan pentadbiran di negeri Kelantan bagi memastikan tidak berlaku jurang yang besar antara negeri itu dengan negeri-negeri lain dalam pelbagai aspek.

Walaupun perkara itu tidak perlu diperdebatkan, ia memberi maksud bahawa prestasi sesebuah negeri adalah gambaran kecekapan pentadbiran kerajaan negeri, kata Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, seperti dipetik MalaysiaKini. 

"Saya rasa tak perlu perdebatkan pun. Maksudnya, prestasi sesebuah negeri baik daripada segi peluang pekerja, baik dari segi sosio-ekonomi, infrastruktur, prestasi itu sudah tentu gambaran kepada kecekapan pentadbiran.

"Kecekapan itu bukan semata-mata bergantung kepada menunggu kepada peruntukan daripada kerajaan persekutuan. Ia bergantung juga kepada visi bagaimana kreatifnya pentadbiran negeri memastikan bahawa ada promosi atau kegiatan ekonomi tertentu boleh dirancakkan,” katanya sewaktu sidang media selepas Konvensyen Pilihan Raya PKR Kelantan di Kota Bharu pada Sabtu (21 Jan). 

Menteri ekonomi itu berkata demikian ketika ditanya sama ada pentadbiran PAS yang terlalu lama di Kelantan menjadi faktor wujudnya jurang kemajuan berbanding di negeri-negeri lain.

Ketika berucap di konvesyen tersebut, Encik Rafizi antara lain menyentuh soal kadar kemiskinan yang tinggi di Kelantan.

Sementara itu, beliau berpendapat pengundi-pengundi sedar akan jurang itu tetapi tetap mahu memilih PAS untuk menerajui kerajaan.

"Sebenarnya kalau ada pimpinan atau kerajaan yang lain diberi tanggungjawab, prestasi itu berkemampuan jadi lebih baik. Perkara itu saya rasa diketahui umum.

“Yang kita kena tangani sekarang soal dalam prestasi (kerajaan negeri). Begitu pun, rakyat Kelantan masih lagi berpandangan bahawa dengan pilihan-pilihan yang ada ini mereka tetap mengundi PAS.

"Di peringkat PKR yang kita nak buat dengan keadaan begini, apa yang berada dalam kawalan kita supaya perkara ini tidak berulang.

"Kalau perkara ini terus berulang, kesannya kepada jurang antara Kelantan dengan negeri-negeri lain makin lama makin besar. Negeri lain makin ke depan Kelantan masih lebih kurang begitu juga," MalaysiaKini memetik kata-kata Encik Rafizi. 

Tambah Encik Rafizi, selepas beberapa pilihan raya, perubahan itu tidak berlaku di Kelantan dan salah satu sebabnya adalah kerana rakyat Kelantan tidak yakin dengan kemampuan parti-parti lain termasuk PKR.

Kelantan ditadbir PAS sejak 32 tahun lalu, dengan sebahagian besar tempoh itu sebagai negeri pembangkang.

Ia juga sering menjadi tumpuan dalam aspek kemajuan prasarana, masalah air dan banjir.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan