Junta Myanmar lanjutkan tempoh gencatan senjata sekali lagi susuli gempa bumi
Sebuah motosikal beroda tiga melewati bangunan yang runtuh dan rosak di Mandalay pada 3 Apr 2025, enam hari selepas gempa bumi dahsyat menggegarkan bahagian tengah Myanmar. (Gambar: AFP/Sai Aung Main)
Junta Myanmar pada mulanya mengisytiharkan gencatan senjata dalam perang saudara melibatkan pelbagai pihak di negara itu, susulan gempa besar pada hujung Mac yang mengorbankan hampir 3,800 orang dan menyebabkan puluhan ribu lagi kehilangan tempat tinggal.
Gencatan senjata itu pernah dilanjutkan sebelum ini, meskipun para pengamat konflik berkata pertempuran masih berterusan, termasuk serangan udara yang kerap berlaku.
Satu kenyataan daripada pasukan maklumat junta itu pada Sabtu (31 Mei) menyatakan, gencatan senjata itu - yang tamat tempohnya pada 31 Mei - akan dilanjutkan sehingga 30 Jun.
Ini akan "memudahkan aktiviti pemulihan dan pembinaan semula di kawasan yang dilanda gempa bumi", katanya dalam kenyataan itu.
Ia menambah bahawa negara itu "secara intensif terlibat dalam pembinaan semula pejabat dan jabatan pemerintah, kediaman awam dan kemudahan pengangkutan yang musnah".
Gencatan senjata itu juga akan membolehkan Myanmar mengadakan "pilihan raya umum demokrasi yang bebas dan adil, melibatkan berbilang parti", menurut kenyataan itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.