Skip to main content

Dunia

Junta Myanmar keluarkan pemberontak Rakhine dari senarai pengganas

Junta tentera Myanmar mengeluarkan pemberontak Tentera Arakan (AA) dari senarai kumpulan pengganas atas alasan kumpulan itu sudah menghentikan serangan.

Anggaran Waktu Membaca:
Junta Myanmar keluarkan pemberontak Rakhine dari senarai pengganas

Jeneral Min Aung Hlaing (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 11 Mar 2021 09:11PM Dikemas Kini : 11 Mar 2021 09:20PM

YANGON: Junta tentera Myanmar mengeluarkan pemberontak Tentera Arakan (AA) dari senarai kumpulan pengganas atas alasan kumpulan itu sudah menghentikan serangan.

Langkah itu juga bertujuan untuk membantu mewujudkan keamanan di seluruh negara, lapor media negara itu pada Khamis (11 Mac), ketika pihak tentera bergelut dengan tunjuk perasaan setiap hari yang menentang rampasan kuasa 1 Februari di mana pemimpin awam Aung San Suu Kyi digulingkan.

Jurucakap AA menyambut baik berita itu.

Pemberontak AA berjuang bagi kuasa autonomi lebih besar di wilayah barat Rakhine dan sejak dua tahun lalu menjadi salah satu pencabar utama paling hebat terhadap tentera Myanmar yang memerangi pelbagai perang etnik selama tujuh dekad.

AA dimasukkan dalam senarai kumpulan pengganas tahun lalu di bawah pemerintahan Cik Suu Kyi.

"Kumpulan ini dikeluarkan dari senarai pengganas bermula 11 Mac 2021," lapor media negara Mirror Daily, dengan menyebut berakhirnya serangan serta visi junta untuk membangunkan "kedamaian abadi di seluruh negara".

Jurucakap AA, Khine Thu Kha berkata Rakhine telah menderita akibat keganasan selama ini dan digugurkan dari senarai kumpulan pengganas itu adalah sesuatu yang positif.

"Pengumuman ini mungkin tidak dapat menyelesaikan masalah di seluruh negara tetapi ia akan menjadi permulaan untuk menyelesaikan masalah di wilayah Rakhine. Oleh itu, kami mengalu-alukannya," katanya dalam pesanan audio kepada Reuters.

Sebilangan kumpulan bersenjata etnik Myanmar yang berjumlah lebih daripada 20 tidak menyokong rampasan kuasa Februari lalu dan bahkan menyuarakan sokongan kepada penunjuk perasaan. Namun, mereka tidak secara ketara meningkatkan tindakan ketenteraan atau membatalkan perjanjian gencatan senjata.

AA tidak menyuarakan sokongan kepada penunjuk perasaan dan sangat sedikit bilangan bantahan yang berlaku di Rakhine, yang pernah menarik perhatian dunia pada 2017 ketika 700,000 orang dari kumpulan minoriti Muslim Rohingya melarikan diri daripada tindakan ganas tentera.

Anggota AA sebahagian besarnya terdiri daripada kumpulan etnik Rakhine dan majoriti penganut Buddha di wilayah bekas kerajaan yang merdeka hingga abad ke-18.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita