Skip to main content

Dunia

Jumlah undi awal pilihan raya presiden AS cipta sejarah; jangkaui 70 juta

Lebih 70 juta rakyat Amerika Syarikat sudah mengundi bagi pilihan raya presiden negara itu, dengan hanya tinggal seminggu sebelum Hari Mengundi.

Anggaran Waktu Membaca:
Jumlah undi awal pilihan raya presiden AS cipta sejarah; jangkaui 70 juta

(Gambar: AP)

Diterbitkan : 28 Oct 2020 12:26PM Dikemas Kini : 28 Oct 2020 12:45PM

WASHINGTON: Lebih 70 juta rakyat Amerika Syarikat sudah mengundi bagi pilihan raya presiden negara itu, dengan hanya tinggal seminggu sebelum Hari Mengundi. Jumlah itu lebih separuh daripada jumlah penduduk yang keluar mengundi pada pilihan raya 2016, menurut perangkaan Projek Pilihan Raya Amerika Syarikat semalam (28 Okt).

Perangkaan itu mungkin membawa kepada jumlah rakyat paling ramai yang keluar mengundi dalam tempoh lebih seratus tahun, dari segi peratusan mata. Ia menunjukkan tanda-tanda persaingan yang sengit antara calon parti Republican, Presiden Donald Trump dengan pesaingnya daripada parti Democrat, Joe Biden. Ia juga menekankan hasrat para pengundi untuk mengurangkan risiko pendedahan kepada virus COVID-19, sedang pandemik itu dijangka bertambah buruk pada musim sejuk.

Democrat mempunyai kelebihan yang ketara dalam pengundian awal disebabkan oleh proses mengundi melalui pos. Biasanya, sebahagian besar penyokong Republican mengundi melalui kiriman pos namun kali ini, mereka mengelak daripada berbuat demikian selepas Encik Trump berkali-kali menyelar dan mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas terhadap sistem itu, yang menurut Encik Trump, mudah terdedah kepada penipuan.

Secara keseluruhannya, Democrat mempunyai kelebihan sekitar seganda dari segi jumlah undi awal. Namun, sejak beberapa minggu kebelakangan ini, Republican berhasil merapatkan jurang tersebut melalui pengundian awal secara fizikal, menurut data-data yang dikumpul.

Jumlah undi awal yang tinggi menyebabkan Profesor Michael McDonald dari Universiti Florida, yang menjalankan Projek Pilihan Raya Amerika Syarikat untuk meramalkan jumlah rekod pengundi sekitar 150 juta, yang membentuk 65 peratus pengundi yang layak. Ini merupakan kadar tertinggi pernah dicatatkan sejak 1908.

Lebih ramai pengundi sudahpun membuat pilihan masing-masing semasa kempen pilihan raya presiden kali ini berbanding pada 2016, dengan data menunjukkan jumlah undi yang diterima sudah melepasi paras 47 juta pada awal bulan ini.

Sumber : Reuters/AY/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita