Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jumlah pengundi muda bagi PRN dijangka meningkat

Anggaran Waktu Membaca:
GEORGE TOWN: Jumlah pengundi muda (U18) dijangka meningkat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini selepas golongan itu kali pertama mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim.

Encik Adam Adli berharap jumlah pengundi muda itu dapat memberikan mandat terhormat ke arah pemilihan kerajaan negeri yang akan ditubuhkan selepas pengundian pada 12 Ogos ini.

"PRU telah memberikan mereka (Undi18) kesedaran (kepentingan mengundi) daripada pengalaman hidup sebenar," katanya kepada pihak media selepas pelancaran Program Fit Malaysia peringkat Pulau Pinang di Padang Kota Lama hari ini (6 Ogos).

Menurut beliau, para pengundi sudah memahami tanggungjawab mereka dan yakin dengan keputusan mereka untuk melaksanakannya mengikut keperluan negara dan masyarakat.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN di Kedah, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Selangor, dan Pulau Pinang serta Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Kuala Terengganu dilaksanakan serentak, dengan hari mengundi pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

Sementara itu, pelancaran Program Fit Malaysia peringkat Pulau Pinang merupakan acara pembuka tirai bagi program peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Terengganu pada 19 Ogos di bandar Baru Kuala Nerus.

Encik Adam Adli berkata program berkonsepkan karnival kesihatan itu telah mencapai sasaran penyertaan 11,000 rakyat Pulau Pinang daripada semua peringkat umur yang menyertai aktiviti seperti 'fun ride' sejauh 10 kilometer (km) dan 30km, 'fun walk' 3km serta pesta kecergasan dan kesihatan.

"Program Fit Malaysia kemudian akan menjelajah ke seluruh negara dan tiba di destinasi terakhir di Dataran Pahlawan Putrajaya pada 14 Okt," katanya.

Beliau berkata program itu merupakan inisiatif Kementerian Belia dan Sukan melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) untuk membudayakan dan mempopularkan sukan dalam masyarakat dengan amalan gaya hidup aktif, cergas dan sihat, selaras dengan kerangka Malaysia MADANI.
Sumber : Bernama/AW/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan