Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jumlah penduduk Kuala Lumpur cecah 8.8 juta orang

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Jumlah penduduk di ibu negara Malaysia kini dianggarkan melebihi 8.8 juta orang dengan peningkatan tahunan sebanyak 2.25 peratus berbanding tahun lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata jumlah itu dijangka terus bertambah mencecah 9.8 juta orang menjelang 2030 dan pembangunan pesat itu menuntut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjadi lebih proaktif dalam perancangan dan penyediaan prasarana.

"Pertumbuhan populasi ini bukan sahaja melibatkan peningkatan semula jadi dalam kawasan bandar, malah juga migrasi masuk yang tinggi dari luar bandar.

"Ini memberikan satu tekanan kepada infrastruktur sedia ada dan menuntut supaya kita menyediakan satu perkhidmatan asas yang lebih baik buat semua warga kota agar Kuala Lumpur ini menjadi sebuah bandar berdaya huni. Tidak dilupakan juga, isu seperti pencemaran udara dan kekurangan ruang hijau turut menjadi antara kebimbangan utama yang perlu diatasi," katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian pelancaran 10 Garis Panduan Perancangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2024 di Menara 1 DBKL, pada Selasa (6 Ogos).

Bagi menghadapi semua cabaran itu, Dr Zaliha berkata DBKL sebagai pihak berkuasa tempatan perlu terus peka dengan keperluan dan kehendak semasa pembangunan di ibu negara itu untuk memastikan kehidupan yang berkualiti.

"Setiap keputusan pembangunan perlu dibuat dengan pertimbangan yang wajar untuk memastikan keseimbangan di antara pembangunan dan kesejahteraan warga kota," katanya.

Mengenai pelancaran garis panduan berkenaan, Dr Zaliha berkata ia bertujuan memastikan amalan tata kelola yang baik diamalkan di DBKL dengan setiap langkah perancangan pembangunan dapat dipantau dengan lebih efektif selain menilai tahap keberkesanan sesuatu polisi serta strategi dilaksanakan dan mempromosikan penambahbaikan berterusan.

"Setiap garis panduan itu adalah hasil daripada kajian terperinci dan konsultasi dengan pelbagai pihak berkepentingan. Dengan pendekatan yang inklusif seperti ini, saya berharap agar ia akan memberi impak positif kepada setiap warga kota," katanya.

Antara garis panduan itu, merangkumi perancangan residensi MADANI; kemudahan ruang penjaja MADANI; pelaksanaan perancangan pembangunan petak pengecasan kenderaan elektrik dan semakan bangunan rendah karbon. Kesemua garis panduan berkenaan akan dipaparkan kepada awam melalui laman web DBKL untuk rujukan semua pihak.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan