Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jumlah penduduk India atasi China jelang pertengahan 2023 menurut anggaran PBB

Anggaran Waktu Membaca:
NEW DELHI: India sedang bersiap sedia untuk mengambil alih China sebagai negara paling ramai penduduk di dunia, dengan hampir tiga juta lebih ramai orang daripada jirannya menjelang pertengahan tahun ini.

Data itu dikeluarkan pada Rabu (19 Apr) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Penduduk India menjelang pertengahan tahun ini dianggarkan sebanyak 1.4286 bilion, berbanding China dengan sebanyak 1.4257 bilion, iaitu 2.9 juta lebih rendah daripada India.

Jumlah tersebut dicatat dalam "Laporan Keadaan Penduduk Dunia" Tabung Penduduk Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) bagi tahun ini.

Amerika Syarikat berada di tempat ketiga, dengan penduduknya dianggarkan sebanyak 340 juta setakat hujung Jun, menurut data tersebut dalam satu laporan yang mencerminkan maklumat yang sedia ada hingga Februari.

Pakar penduduk yang menggunakan data sebelum ini daripada PBB, meramalkan penduduk India akan mengatasi China bulan ini. Namun laporan pertubuhan sedunia itu tidak menetapkan tarikh.

Pegawai penduduk PBB berkata bahawa ia sukar untuk menetapkan tarikh kerana ketidakpastian data dari India dan China.

Banci terakhir India diadakan pada 2011 dan seterusnya, yang dijadualkan pada 2021, ditangguhkan disebabkan pandemik COVID-19.

Walaupun kedua-dua negara akan menyumbang kepada lebih satu pertiga penduduk dunia yang dianggarkan sebanyak 8.045 bilion, pertumbuhan penduduk di dua-dua negara sudah mula perlahan.

Ia lebih perlahan di China dibandingkan India.

Tahun lalu, jumlah penduduk China menyusut buat kali pertama dalam enam dekad. Ia menandakan kejadian bersejarah yang dijangkakan akan menyebabkan penyusutan berpanjangan bagi jumlah rakyat China.

Ia akan mengakibatkan kesan negatif yang mendalam terhadap ekonomi China dan seluruh dunia.

Jurucakap China Wang Wengbin berkata bahawa dividen penduduk bukan sahaja bergantung kepada jumlah tetapi kepada mutu.

"Jumlah penduduk adalah penting tetapi bakat juga penting...China sudah mengambil langkah-langkah aktif untuk bertindak terhadap penduduk yang menua," kata jurucakap Kementerian Luar China Wang Wenbin kepada wartawan pada Rabu.

Tiada reaksi rasmi daripada India mengenai data itu. Seorang menteri persekutuan berkata bahawa ia tidak dibincangkan di kabinet pada Rabu.
Sumber : Reuters/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan