Jumlah penduduk Beijing merosot buat julung-julung kalinya dalam 20 tahun: Xinhua
Jumlah penduduk di ibu negara China, Beijing, merosot buat julung-julung kalinya dalam dua dekad pada 2017. Demikian menurut agensi berita Xinhua, menukil data rasmi.

Para penduduk di Beijing. (Gambar: Thomas Peter/Reuters)
SHANGHAI: Jumlah penduduk di ibu negara China, Beijing, merosot buat julung-julung kalinya dalam dua dekad pada 2017. Demikian menurut agensi berita Xinhua, menukil data rasmi.
Jumlah penduduk tetap mencecah 21.7 juta tahun lalu, kurang 22,000 berbanding tahun sebelumnya, menurut Xinhua pada Khamis (22 Nov).
Jumlah penduduk di enam daerah bandar itu merosot tiga peratus antara 2016 dengan 2017, menurut laporan Xinhua, menukil Kongres Rakyat bandar itu.
Pihak berkuasa Beijing sedang berusaha untuk mengawal peningkatan jumlah penduduk sebagai usaha untuk mengatasi kesesakan jalan raya, kekurangan sumber dan inflasi harga perumahan.
Jumlah penduduk Beijing meningkat sebanyak dua pertiga sejak 1998, sementara penggunaan tenaga meningkat kepada dua kali ganda dan jumlah kenderaan meningkat kepada tiga kali ganda. Pada 2016, Beijing menyatakan bahawa ia akan mengambil tindakan untuk menghadkan jumlah penduduknya kepada 23 juta menjelang hujung dekad ini.
Bandar itu sedang berusaha untuk menyepadukan ekonominya dengan wilayah jiran Hebei dan bandar Tianjin untuk membenarkan beberapa universiti, jabatan pemerintah dan firma perindustrian untuk berpindah keluar.
Meskipun bandar-bandar besar seperti Beijing dan Shanghai sudah berusaha untuk mengawal jumlah penduduknya, China secara keseluruhannya sedang mengambil tindakan untuk meningkatkan kadar kelahiran, yang merosot pada 2017 dan dijangka akan merosot lagi tahun ini.
Jumlah penduduk warga tua di China dijangka mencecah 400 juta menjelang 2035, meningkat dari 240 juta tahun ini, sekali gus meletakkan tekanan terhadap khidmat-khidmat kesihatan dan dana pencen. Demikian menurut data yang diterbitkan tahun lalu oleh Pertubuhan China bagi Keselamatan Sosial, sebuah kumpulan kajian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.