Jumlah pelarian Ukraine makin meningkat angkara konflik dengan Rusia
Pendatang Ukraine tiba di stesen kereta api Zahonyi berdekatan sempadan Hungary-Ukraine pada 27 Feb 2022. (Gambar: Attila KISBENEDEK / AFP)
SINGAPURA: Serangan Rusia yang semakin hebat telah menyebabkan lebih ramai penduduk Ukraine melarikan diri ke negara-negara jiran.
Kebanyakan mereka kelihatan memasuki Romania bagi mengelakkan kesesakan di sempadan Ukraine dengan Poland.
Menurut pihak berkuasa Romania, ia telah menerima lebih 70,000 pelarian dari Ukraine sejak pencerobohan dilancarkan Rusia.
Lebih separuh daripada mereka telahpun meneruskan perjalanan ke negara-negara lain.
Hampir 400 yang lain telah memohon suaka di Romania.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan lebih 670,000 pelarian telah meninggalkan Ukraine demi keselamatan mereka.
Semalam, ratusan pelarian Ukraine tiba di stesen kereta api Berlin di Jerman.
Para pegawai polis dan sukarelawan menyambut ketibaan mereka dengan menawarkan bantuan dan makanan.
Penguasa pengangkutan Jerman menyatakan semua pelarian Ukraine yang melakukan perjalanan ke negara itu boleh menaiki kereta api secara percuma.
Usaha antarabangsa bagi membantu para pelarian Ukraine sedang dipergiatkan.
Bank Dunia sedang mempersiapkan pakej bantuan kecemasan AS$3 bilion(S$4.07 bilion) dolar bagi Ukraine dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Pemerintah Itali pula telah meluluskan bantuan sekitar AS$122 juta(S$165.50 juta) dolar bagi para pelarian Ukraine.
Lima lori membawa barangan keperluan dari persatuan Palang Merah Itali pula sudah tiba di Ukraine.
Agensi pelarian PBB menganggarkan sekurang-kurangnya sejuta rakyat Ukraine telah kehilangan tempat tinggal akibat serangan Rusia.
Malah pesuruhjaya krisis Kesatuan Eropah (EU) bimbang jumlah itu akan meningkat kepada lebih 7 juta orang jika konflik tersebut berterusan.
PBB telah melancarkan rayuan derma darurat berjumlah AS$1.7 bilion(S$2.31 bilion) bagi membantu para pelarian Ukraine dan mereka yang berada di negara itu.
Dana tersebut akan digunakan bagi menyediakan tempat perlindungan, sokongan perubatan dan air minum.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.