Jumlah pelancong naik seganda bagi maraton Korea Utara
Jumlah warga asing yang berhimpun di Pyongyang pada Ahad (7 Apr) bagi acara maraton tahunan negara itu bertambah lebih seganda berbanding tahun lalu.
Jumlah warga asing yang berhimpun di Pyongyang bagi acara maraton tahunan negara itu bertambah lebih seganda berbanding tahun lalu. (Gambar: Ed Jones/AFP)
SEOUL: Jumlah warga asing yang berhimpun di Pyongyang pada Ahad (7 Apr) bagi acara maraton tahunan negara itu bertambah lebih seganda berbanding tahun lalu. Demikian menurut firma-firma pelancongan yang menyatakan bahawa jumlah pelancong di Korea Utara kian meningkat kerana ketegangan semenanjung Korea semakin berkurangan.
Acara itu - sebahagian daripada perayaan bagi ulang tahun kelahiran Kim II Sung pada 1912 - adalah acara utama dalam kalendar pelancongan Korea Utara dan menawarkan peluang untuk berlari atau berlari-lari anak di jalan-jalan raya negara yang dikawal ketat itu.
Seramai 950 pengunjung dari Barat mengambil bahagian dalam acara itu, menurut ketua pasaran Koryo Tours, berbanding seramai 450 peserta tahun lalu.
Dengan ini, jumlah peserta hampir mencecah parasnya sebagaimana pada tahun 2017, sebelum ketegangan meningkat kerana Korea Utara melaksanakan beberapa pelancaran peluru berpandu. Pemimpin Pyongyang, Kim Jong Un, sebelum ini juga saling ancam-mengancam dan penghinaan dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Pada tahun yang sama, Washington turut melarang rakyatnya daripada mengunjungi Korea Utara menyusuli kematian Encik Otto Warmbier, seorang pelajar warga Amerika Syarikat yang dijatuhi hukuman penjara. Menurut Korea Utara, beliau didapati mencuba mencuri poster propaganda dan meninggal dunia secara misteri setelah dibebaskan.
Selepas kejadian tersebut, beberapa negara lain meningkatkan amaran melancong ke negara Korea Utara dan beberapa isu menjejas industri pelancongan Korea Utara dengan teruk.
Menurut pengendali-pengendali pelancongan, meskipun larangan Amerika Syarikat masih dikuatkuasakan, lebih ramai para pelancong dari Barat mengambil bahagian dalam maraton kali ini. Ini mereka mereka melihat adanya usaha diplomasi peringkat tinggi antara Encik Trump dengan Encik Kim.
Kebanyakan pelancong yang berkunjung ke Korea Utara adalah warga China dan seramai 5,000 pelancong dari Barat. Yang menariknya, sekitar 20 peratus daripada pelancong Barat adalah dari Amerika Syarikat, kerana mereka menginginkan pelancongan yang unik di salah sebuah negara yang paling terpencil di dunia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.