Skip to main content

Dunia

Jumlah pelajar Asia di Amerika jatuh ke paras terendah sejak pandemik COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:
Jumlah pelajar Asia di Amerika jatuh ke paras terendah sejak pandemik COVID-19

Para penunjuk perasaan mengangkat sepanduk semasa perhimpunan Harvard Students for Freedom sebagai tanda sokongan kepada pelajar antarabangsa di kampus Universiti Harvard di Boston, Massachusetts, pada 27 Mei 2025. (Gambar fail: AFP/Rick Friedman)

Diterbitkan : 07 Oct 2025 06:51PM
BOSTON: Jumlah pelajar yang tiba dari Asia ke Amerika Syarikat pada Ogos lalu merosot hampir 24 peratus tahun ini berbanding tahun lalu, menurut data pemerintah Amerika Syarikat yang dikeluarkan baru-baru ini, menandakan angka Ogos terendah dalam rekod di luar tempoh pandemik COVID-19.

Data itu, berdasarkan rekod ketibaan pelajar antarabangsa yang diterbitkan oleh Pentadbiran Perdagangan Antarabangsa (ITA) Jabatan Perdagangan, termasuk pelajar baharu dan pelajar sedia ada yang pulang ke Amerika. Data ketibaan pada Ogos biasanya digunakani sebagai penunjuk yang diyakini untuk pendaftaran di sekolah-sekolah Amerika kerana para pelajar biasanya tiba pada bulan itu tepat pada masanya untuk memulakan penggal musim gugur, yang biasanya bermula pada bulan Ogos atau September.

Kemerosotan mendadak itu berlaku menyusuli beberapa siri langkah Pentadbiran Presiden Donald Trump, termasuk kelengahan dalam pemprosesan visa, larangan perjalanan atau sekatan ke atas beberapa negara Asia, ancaman untuk menghantar pulang warga asing kerana menyampaikan ucapan tertentu, dan pemeriksaan lebih ketat terhadap pemohon visa, terutamanya dari tanah besar China dan Hong Kong.

Ramai pelajar antarabangsa yang biasanya keluar daripada Amerika kerana cuti sekolah juga memilih untuk terus berada di negara tersebut pada tahun ini, kerana bimbang mereka tidak akan dibenarkan masuk semula walaupun mereka mempunyai visa yang sah.

Asia – yang ditakrifkan berasingan dari Timur Tengah oleh ITA, tidak seperti beberapa agensi Amerika yang lain – membentuk lebih daripada 191,000, atau 60 peratus daripada semua ketibaan pelajar dengan visah yang sah pada Ogos tahun ini.

China dan India kekal sebagai dua sumber terbesar pelajar antarabangsa, masing-masing dengan lebih 86,000 dan lebih 41,000 ketibaan. Kedua-duanya menyaksikan kemerosotan mendadak dari Ogos tahun lalu - turun 12.4 peratus untuk tanah besar China dan 44.5 peratus bagi India. Hong Kong, sementara itu, menyaksikan penurunan 7.7 peratus pada ketibaan pelajarnya.

Secara keseluruhannya, bilangan pelajar yang memasuki Amerika jatuh sebanyak 19.1 peratus berbanding Ogos 2024, merosot daripada kira-kira 387,000 kepada 313,000. Rantau-rantau lain, termasuk Afrika, Amerika Selatan dan Timur Tengah, juga mencatatkan penurunan dua peratusan mata, manakala barat Eropah hanya mencatatkan penurunan sebanyak 0.7 peratus.

Afrika mencatatkan kejatuhan paling ketara di antara semua wilayah, dengan ketibaan merosot hampir sepertiga.

Amerika Syarikat menampung lebih daripada 1 juta pelajar antarabangsa di universiti dan kolejnya.

Washington telah menghantar isyarat bercampur-campur kepada pelajar antarabangsa, terutamanya mereka dari China, sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Setiausaha Negara Marco Rubio pada Mei berkata jabatannya akan "membatalkan secara agresif" visa pelajar China, dengan Presiden Trump berkata pada Ogos bahawa beliau akan membenarkan 600,000 warga China belajar di Amerika - lebih daripada dua kali ganda angka semasa.

Para penyokong pendidikan memberi amaran bahawa kemerosotan mendadak pada bilangan pelajar asing boleh menjejaskan ekonomi Amerika dan menjejaskan daya saingnya dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Menurut NAFSA: Persatuan Pendidik Antarabangsa, pendaftaran pelajar antarabangsa baharu yang berpangkalan di Washington, ia boleh jatuh sebanyak 30 hingga 40 peratus pada musim gugur ini, membawa kepada penurunan keseluruhan 15 peratus pada jumlah pendaftaran. Kemerosotan sedemikian, menurut kumpulan itu, boleh menyebabkan ekonomi tempatan mengalami kerugian sekitar AS$7 bilion (S$9 bilion) dari segi perbelanjaan dan lebih 60,000 pekerjaan.
 
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita