Jumlah pekerja muda Korea Selatan merosot di tengah kelembapan ekonomi
Syarikat-syarikat utama Korea Selatan kini menggajikan lebih ramai pekerja berusia 50 tahun ke atas berbanding golongan berumur dalam lingkungan 20-an tahun, mencerminkan penurunan ketara dalam pengambilan pekerja muda di tengah-tengah kelembapan ekonomi, lapor agensi berita Yonhap yang memetik data industri.
(Gambar: Reuters)
Data penjejak korporat Leaders Index menunjukkan bahawa setakat akhir 2024, pekerja berusia 20-an tahun hanya merangkumi 19.8 peratus daripada jumlah tenaga kerja di 124 firma utama berdasarkan jualan, iaitu merosot sebanyak 1.2 peratusan mata berbanding tahun sebelumnya.
Sementara itu, peratusan pekerja berusia 50 tahun ke atas meningkat sebanyak 0.6 peratusan mata kepada 20.1 peratus.
Buat kali pertama sejak 2015, iaitu ketika data itu mula dicatatkan, jumlah pekerja yang lebih berusia mengatasi pekerja muda.
Ia juga merupakan kali pertama peratusan pekerja berusia bawah usia 30 tahun merosot bawah paras 20 peratus.
Jurang ketara dapat dilihat dalam industri bateri, yang mencatatkan kemerosotan sebanyak 9.7 peratusan mata pada jumlah pekerja 20-an tahun sepanjang tiga tahun lalu, manakala pekerja berusia 50 tahun ke atas meningkat sebanyak 1.2 peratusan mata.
Perubahan serupa turut dilihat dalam sektor teknologi maklumat dan elektronik, dengan jumlah pekerja muda merosot sebanyak 5.4 peratusan mata.
“Disebabkan oleh keadaan ekonomi yang suram, banyak industri mengurangkan pengambilan pekerja baharu, manakala pekerja lama pula menangguhkan persaraan,” kata seorang pegawai dari Leaders Index.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.