Jumlah mangsa pencemaran sisa toksik Sungai Kim Kim terus meningkat
Jumlah mangsa yang mengalami sesak nafas, loya dan muntah yang dirawat di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, hari ini (12 Mac) mencecah 260 orang termasuk pelajar dua sekolah dan orang awam.

Guru-guru dan ibu bapa Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih giat melakukan kerja pembersihan kelas dan kawasan sekolah. (Gambar: BERNAMA)
JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa yang mengalami sesak nafas, loya dan muntah yang dirawat di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, hari ini (12 Mac) mencecah 260 orang termasuk pelajar dua sekolah dan orang awam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri Dr Sahruddin Jamal berkata kesemua pelajar itu melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang.
Beliau yang meluangkan masa kira-kira 15 minit melawat mangsa yang dirawat di dewan berkenaan, bagaimanapun, enggan mengulas lanjut berhubung kejadian tersebut termasuk jumlah pecahan mangsa terlibat.
"Oleh kerana sekarang ia (kejadian) melibatkan peringkat negeri… Saya tidak boleh memberi kenyataan lanjut," katanya yang ditemui pihak media di dewan berkenaan.
Pagi tadi (12 Mac), pelajar SK Tanjung Puteri Resort dan SMK Tanjung Puteri Resort mengalami simptom sama dengan dua sekolah ditutup sebelum ini iaitu SK Taman Pasir Putih dan SMK Pasir Putih, di mana pelajarnya mengalami sesak nafas, loya dan muntah ketika di sekolah.
Selain Dr Sahruddin, turut kelihatan di dewan berkenaan adalah Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor Yahaya Madis, Timbalan Ketua Polis Johor Mohd Kamarudin Md Din dan Pengarah Kesihatan Johor Dr Selahuddeen Abd Aziz.
Namun, kesemuanya turut enggan memberi sebarang kenyataan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.