Skip to main content

Dunia

Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara Kelantan, Terengganu terus meningkat

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Hujan lebat berterusan di Kelantan dan Terengganu mengakibatkan jumlah mangsa banjir dan pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri itu terus meningkat pada petang Ahad(27 Feb) berbanding pada sebelah pagi.

Di Terengganu, jumlah mangsa meningkat kepada 5,722 orang daripada 1,736 keluarga setakat 4 petang pada Ahad (27 Feb) berbanding 4,335 orang daripada 1,287 keluarga pada sebelah pagi, melibatkan 102 PPS yang beroperasi.

PPS tersebut merangkumi lapan daerah di Terengganu iaitu Setiu dengan 25 buah , Besut (24), Kemaman (19), Hulu Terengganu (16), Dungun (11), Kuala Nerus (lima), Kuala Terengganu (satu) dan Marang (satu).

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, jumlah mangsa tertinggi masih di daerah Kemaman iaitu 1,924 orang, diikuti Setiu (1,039), Hulu Terengganu (1,001), Dungun (804), Besut (709), Kuala Nerus (202), Kuala Terengganu (38) dan Marang (lima).

Sementara itu di Kelantan, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 6,018 orang daripada 2,019 keluarga setakat 5 petang Ahad (27 Feb) berbanding 3,222 orang daripada 1,034 keluarga, pada sebelah pagi.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan sebanyak 64 PPS dibuka melibatkan tujuh jajahan iaitu 16 di Kuala Krai, masing-masing, 15 di Pasir Mas dan Tanah Merah, lapan di Jeli, enam di Pasir Puteh, tiga di Machang manakala satu di Kota Bharu.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Penguasa Kanan Bomba II, Mohd Wildan Azhari berkata sebanyak 12 operasi pemindahan dan menyelamat mangsa banjir sudah dilaksanakan pihaknya melibatkan 52 mangsa, sejak Jumaat (25 Feb) lepas.

Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita