Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jumlah mangsa banjir di M'sia jangkaui 48,000; keadaan di Johor membimbangkan

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di beberapa negeri semakin membimbangkan dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara meningkat kepada 48,989 orang setakat pagi Ahad (5 Mac). 

Johor terus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 44,860 orang, diikuti oleh Pahang (2,978), Negeri Sembilan (587), Melaka (493) dan Selangor (71).

Di Johor, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerusi kenyataan memaklumkan seramai 13,029 keluarga ditempatkan di 260 PPS di 10 daerah yang terjejas dengan bencana tersebut. 

Menurut kenyataan JPBN itu, Batu Pahat merupakan antara daerah paling ramai penduduk teruk terjejas banjir dengan sejumlah 14,030 orang daripada 4,084 keluarga, diikuti oleh Segamat dengan 13,334 orang (3,897 keluarga) dan Kluang, 5,296 mangsa (1,533 keluarga).

Di Pahang, Sekretariat JPBN melaporkan jumlah mangsa banjir seramai 2,978 orang pada pagi Ahad berbanding 2,860 orang pada Sabtu malam (4 Mac), yang ditempatkan di 23 PPS.

Daerah Rompin kekal mencatatkan mangsa paling ramai iaitu 2,615 orang di 20 PPS diikuti Temerloh (305 orang, sebuah PPS) dan masing-masing 29 mangsa di sebuah PPS di Bera serta Maran. 

Di Melaka, jumlah mangsa meningkat lagi kepada 493 orang daripada 134 keluarga setakat pukul 8.00 pagi Ahad berbanding 448 mangsa daripada 118 keluarga pada pukul 8.00 malam Sabtu. 

Sekretariat JPBN dalam satu kenyataan berkata kesemua mangsa terjejas ditempatkan di empat PPS di daerah Jasin iaitu 477 orang daripada 127 keluarga, manakala di Alor Gajah 16 mangsa daripada tujuh keluarga ditempatkan di sebuah PPS.

Di Selangor, jumlah mangsa banjir mencatatkan peningkatan kepada 71 orang daripada 17 keluarga setakat pagi Ahad berbanding 58 orang daripada 14 keluarga pada Sabtu berikutan hujan lebat yang berlaku pada awal pagi Ahad.

Menurut JPBN, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Selangor melaporkan dua PPS masih dibuka sehingga kini bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir berkenaan.

Di Negeri Sembilan, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Leftenan Kol (PA) Mohd Nazri Mes Kam berkata jumlah mangsa banjir di negeri itu terus merekodkan penurunan kepada 587 orang membabitkan 148 keluarga di empat PPS di Tampin, setakat pukul 8.00 pagi Ahad.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan