Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jumlah mangsa banjir di Johor semakin merosot, Batu Pahat masih terjejas

Anggaran Waktu Membaca:

JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di Johor berkurang kepada 26,381 orang pada pukul 8.00 pagi Jumaat (17 Mac) berbanding 28,008 orang dicatatkan pada Khamis malam (16 Mac).  

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam satu kenyataan memaklumkan kesemua mangsa daripada 7,418 keluarga ditempatkan di 95 pusat pemindahan sementara (PPS) di Batu Pahat dan Segamat.

Menurut JPBN, Batu Pahat kekal daerah paling teruk terjejas dengan jumlah mangsa 26,337 orang daripada 7,404 keluarga, manakala Segamat seramai 44 orang daripada 14 keluarga.

Cuaca diramal cerah di kesemua 10 daerah pada pagi Jumaat selain tiada sungai yang berada di paras bahaya.

Bagaimanapun, menurut JPBN sebanyak lima jalan di Batu Pahat masih ditutup untuk kenderaan ringan kerana ditenggelami banjir dan hanya kenderaan berat dibenarkan untuk melalui jalan-jalan tersebut.

Penutupan itu melibatkan Jalan Parit Haji Arif/Sri Dayung berhampiran Jambatan Sri Dayung; Jalan Parit Jambi (Jambatan Parit Jambi); Jalan Haji Arif (Klinik Kesihatan Sri Medan); Jalan Parit Warijo (sepanjang jalan) dan Jalan Sri Bengkal (Kampung Sri Bengkal).

Sumber : Bernama/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan