Skip to main content

Dunia

Jumlah mangsa banjir di Johor meningkat kepada lebih 3,860 orang

Anggaran Waktu Membaca:
Jumlah mangsa banjir di Johor meningkat kepada lebih 3,860 orang

(Gambar fail: Bernama)

Diterbitkan : 13 Jan 2025 10:32AM Dikemas Kini : 13 Jan 2025 10:33AM
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor terus meningkat pada Ahad malam (12 Jan) berbanding petang Ahad manakala di Perak kekal.

Di Johor, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 3,869 orang setakat 8.00 malam pada Ahad berbanding 3,779 orang yang direkodkan petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Dr Azmi Rohani memaklumkan kesemua mangsa daripada 1,093 keluarga itu ditempatkan di 37 PPS di lima daerah yang terjejas. 

"Daerah Kota Tinggi mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 1,262 mangsa, diikuti Johor Bahru (774), Kulai (735), Pontian (568) dan Kluang (530).

“Selain itu, hanya stesen Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang dilaporkan melebihi paras bahaya dengan bacaan 15.62 meter (m) (trend menurun)," katanya dalam kenyataan pada Ahad malam.

Dr Azmi berkata Jalan Mawai Lama (Rumah Burung) di Kota Tinggi masih ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan susulan dinaiki air, sementara Jalan Tanjung Sedili di daerah sama hanya dibuka satu lorong.

Beliau berkata Johor Bahru, Mersing, Pontian dan Kota Tinggi diramalkan hujan pada Ahad malam manakala enam daerah lain di negeri itu diramal mendung.

Di Perak, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir di daerah Manjung kekal 31 orang daripada sembilan keluarga dan kesemua mangsa itu ditempatkan di PPS Sekolah Agama Rakyat Padang Serai di Beruas sejak Khamis lalu.

"Kesemua mangsa penduduk dari Kampung Padang Serai, Kampung Kasi serta Kampung Pengkalan Damar," menurut kenyataan itu.

Jabatan Pengairan dan Saliran Perak pula memaklumkan air Sungai Rui di daerah Hulu Perak berada pada paras berjaga-jaga iaitu 165.43m berbanding paras normal 165.10m.
Sumber : Bernama/IM/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita