Jumlah mangsa banjir di Johor melepasi 3,700 orang
Jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor terus meningkat pada sebelah petang berbanding pagi Ahad (12 Jan).

(Gambar: BERNAMA)
Jumlah mangsa banjir di Perak pula tidak banyak berubah.
Di Johor, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 3,779 orang setakat jam 4.00 petang tadi, berbanding 3,449 orang pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Dr Azmi Rohani memaklumkan kesemua mangsa daripada 1,080 keluarga itu berlindung di 36 PPS yang diaktifkan di lima daerah terjejas.
"Kota Tinggi menjadi daerah paling teruk terkesan dengan 1,174 mangsa dipindahkan ke PPS, diikuti Johor Bahru (768), Kulai (735), Pontian (556) dan Kluang (546)," kata Dr Azmi menerusi satu kenyataan.
"Selain itu, hanya Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang dilaporkan melepasi paras bahaya dengan bacaan 15.70 meter."
Sementara itu, di Perak, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah memaklumkan jumlah mangsa banjir di daerah Manjung meningkat kepada 31 orang daripada sembilan keluarga berbanding 30 orang daripada lapan keluarga, pagi tadi.
Jabatan Pengairan dan Saliran Perak pula memaklumkan paras air Sungai Rui di daerah Hulu Perak berada pada paras berjaga-jaga iaitu 165.43m berbanding paras normal 165.10m.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula meramalkan hujan di kesemua 12 daerah di Perak pada sebelah malam hari ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.