Skip to main content

Dunia

Jumlah mangsa banjir di Johor, Kedah dan Perak meningkat

Anggaran Waktu Membaca:
Jumlah mangsa banjir di Johor, Kedah dan Perak meningkat

Gambar fail: Bernama

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 13 Oct 2024 11:53AM
KUALA LUMPUR: Jumlah keseluruhan mangsa banjir di tiga negeri Malaysia kembali meningkat pada pagi tadi (13 Okt), dengan Johor, Kedah dan Perak masing-masing mencatatkan pertambahan daerah yang terjejas akibat bencana itu.

Di Kedah, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata banjir yang melanda Baling telah menyebabkan tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka, manakala dua lagi PPS kini beroperasi di Sik.

"PPS di Baling menempatkan 69 orang daripada 26 keluarga manakala PPS di Sik setakat ini menempatkan 54 keluarga terlibat banjir, dengan jumlah sebenar mangsa masih dalam bancian," kata Encik Suhaimi menerusi kenyataan pada Ahad (13 Okt).

Beliau menambah, Kota Setar masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 1,238 orang daripada 372 keluarga di sembilan PPS manakala 507 orang daripada 139 keluarga di Pendang masih berada di dua PPS.

Bagi daerah Kubang Pasu, dua PPS masih beroperasi bagi menempatkan 146 orang daripada 52 keluarga manakala sebuah PPS di Pokok Sena dihuni 98 orang daripada 36 keluarga.

Sementara itu, di Johor dua lagi PPS dibuka masing-masing di Kluang dan Kulai, menyebabkan jumlah mangsa di negeri itu meningkat mendadak pada Ahad pagi kepada 147 orang, berbanding 17 mangsa pada Sabtu malam.

Seramai 17 mangsa daripada tiga keluarga itu merupakan mereka yang terjejas banjir di daerah Batu Pahat yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bunut.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Dr Azmi Rohani berkata PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kampung Renggam, Kluang menempatkan 61 mangsa manakala baki mangsa berada di PPS Dewan Kampung Murni Jaya, Kulai.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir melanda Kluang dan Kulai Ahad petang, manakala cuaca sama dijangka di Batu Pahat pada Ahad pagi.

Di Perak, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan mangsa banjir bertambah sedikit kepada 166 orang daripada 51 keluarga pada Ahad pagi, berbanding 136 orang daripada 40 keluarga pada lewat Sabtu.

Sebuah lagi PPS dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Idris Shah II di daerah Hulu Perak pada 12.20 tengah malam pada Sabtu bagi menempatkan 30 orang daripada 11 keluarga selepas kediaman mereka di Kampung Air Panas terjejas banjir.

"Mangsa banjir di daerah Kerian masih kekal dengan seramai 71 orang daripada 20 keluarga masih berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak manakala di PPS SK Parit Haji Aman, menempatkan 65 orang daripada 20 keluarga," menurut sekretariat itu.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita