Skip to main content

Dunia

Jumlah korban gempa bumi Filipina naik kepada 72 orang

Anggaran Waktu Membaca:
Jumlah korban gempa bumi Filipina naik kepada 72 orang

Penduduk menyaksikan penyelamat mengangkat keluar mayat mangsa yang ditemui di bawah runtuhan sebuah rumah pesaraan yang rosak akibat gempa bumi sekuat 6.9 magnitud di Bogo, Cebu, Filipina pada 1 Oktober 2025. (Gambar: Reuters/Eloisa Lopez)

Diterbitkan : 02 Oct 2025 12:01PM Dikemas Kini : 02 Oct 2025 12:13PM
MANILA: Jumlah korban akibat gempa bumi sekuat 6.9 magnitud yang melanda kawasan tengah Filipina pada lewat malam Selasa (30 Sep) meningkat kepada 72 orang, menurut agensi pertahanan awam negara itu.

Agensi tersebut melaporkan pada Khamis bahawa lagi 294 orang cedera. Kesemua mangsa berada di wilayah tengah Visayas.

Gempa bumi di Cebu itu adalah yang paling buruk di Filipina sejak 2013, apabila gempa bumi sekuat 7.2 magnitud melanda pulau Bohol, yang terletak di timur Cebu, dan meragut 222 nyawa.

Gempa bumi cetek itu melanda perairan di luar Cebu pada lewat malam, merosakkan talian elektrik, jambatan dan beberapa bangunan, termasuk sebuah gereja yang berusia lebih 100 tahun.

Setakat Rabu, tiada angka rasmi dikeluarkan mengenai bilangan mangsa yang masih hilang. Para pegawai berkata bahawa hujan yang tidak menentu serta jambatan dan jalan raya yang rosak menghalang usaha menyelamatkan nyawa.

Agensi pemantauan gempa bumi melaporkan bahawa gempa itu berlaku pada kedalaman sekitar 10 kilometer, dengan beberapa gegaran susulan dicatatkan — yang terkuat berukuran 6 magnitud. Tiada ancaman tsunami dilaporkan.

Video yang dimuat naik oleh media tempatan menunjukkan orang ramai bergegas keluar dari rumah mereka di Cebu, sebuah pulau sepanjang 200 kilometer dengan penduduk seramai 3.4 juta orang, ketika gegaran berlaku dan bangunan runtuh.

Retakan besar muncul di permukaan jalan, dan penunggang motosikal bertempiaran menyelamatkan diri di atas landasan jambatan yang bergoyang kuat ke kiri dan kanan.

Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr memberi jaminan kepada mangsa yang terselamat bahawa bantuan akan disalurkan dengan segera.

"Kami sedang menilai kerosakan dan keperluan semasa," katanya kepada wartawan.

Filipina terletak di "Lingkaran Api" Pasifik dan mengalami lebih 800 gempa bumi setiap tahun.
 
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita