Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jumlah kes malaria meningkat di Pulau Pinang

Anggaran Waktu Membaca:

KEPALA BATAS: Pulau Pinang menghadapi kemelut Urban Malaria berikutan kebanjiran warga asing di pelbagai sektor ekonomi yang tidak diketahui status kesihatan mereka.

Pengarah Kesihatan Pulau Pinang Dr Ma'arof Sudin berkata ekoran itu, majikan sektor swasta yang mempunyai pekerja warga asing perlu memberikan maklumat pekerja mereka dari negara endemik malaria kepada Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan supaya pihaknya mempunyai rekod.

"Malah semua pekerja asing seharusnya melalui pemeriksaan perubatan termasuk saringan malaria mengikut dasar yang ditetapkan oleh kerajaan bagi pekerja asing yang bekerja di Malaysia.

Selain itu, penduduk yang tinggal atau mempunyai sejarah perjalanan ke kawasan berisiko malaria atau ke negara endemik malaria perlu mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital berdekatan sekiranya mengalami gejala seperti demam, sejuk menggigil, berpeluh dan lemah tubuh badan supaya rawatan awal dapat diberikan.

"Antara negara-negara endemik malaria adalah Indonesia, Filipina, Myanmar, Papua New Guinea, Bangladesh, Pakistan, India, Nigeria dan Congo," katanya semasa berucap sempena Sambutan Hari Malaria Sedunia Peringkat Pulau Pinang pada Khamis (11 Ogos).

Sementara itu, Dr Ma'arof berkata pihaknya juga sentiasa mengambil langkah kesiapsiagaan, pengesanan kes secara aktif, pemerkasaan aktiviti pengawasan dan kawalan serta pendidikan kesihatan dalam kalangan masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan dan syarikat swasta untuk mencegah serta mengawal sebaik mungkin jangkitan malaria yang diimport dari negara-negara endemik.

Katanya lagi, sebagai tambahan kepada aktiviti kawalan dan pencegahan konvensional sedia ada, inisiatif lain yang diambil dan amat unik bagi Pulau Pinang adalah Inovasi Modifikasi Parit Kawalan Malaria atau Kaedah Pengurusan Alam Sekitar bagi mencegah pembiakan nyamuk anophaeles yang boleh didapati di Taman Botani.

"Ia merupakan satu-satunya model parit kawalan malaria di Malaysia yang terletak di kawasan yang mudah dilawati dan boleh dijalankan demonstrasi fungsi setiap jenis parit secara langsung dan menjadi sumber rujukan tempatan dan antarabangsa," katanya.

Beliau berkata terdapat dua kategori jangkitan penyakit malaria iaitu Jangkitan Malaria Manusia yang disebabkan oleh parasit plasmodium seperti falciparum, vivax, malariae dan ovale manakala kategori yang kedua adalah Jangkitan Malaria Zoonotik yang disebabkan oleh parasit plasmodium knowlesi yang merebak dari haiwan seperti kera yang menjadi perumah kepada manusia.

"Di Malaysia, sehingga Minggu Epid 30 tahun 2022, jumlah kumulatif kes Malaria yang dilaporkan sehingga kini adalah sebanyak 1,611 kes dengan 90.3 peratus melibatkan Malaria Zoonotik (plasmodium knowlesi) yang ditularkan daripada haiwan yang menjadi perumah seperti kera kepada manusia.

Manakala, sebanyak 9.7 peratus lagi merupakan kes jangkitan Malaria Manusia dan 96 peratus daripadanya merupakan kes import iaitu pesakit mendapat jangkitan dari luar negara dan dikesan dijangkiti malaria di Malaysia," katanya lagi.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan