Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jumlah kes HFMD dijangka merosot dalam 2-3 minggu mendatang, kata Khairy Jamaluddin

Anggaran Waktu Membaca:
Jumlah kes HFMD dijangka merosot dalam 2-3 minggu mendatang, kata Khairy Jamaluddin

(Gambar: Kementerian Kesihatan Malaysia/Facebook)

KUALA LUMPUR: Kemerosotan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) boleh dijangkakan dalam tempoh dua hingga tiga minggu mendatang.

Demikian menurut Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin.

Semasa satu sidang media hari ini (9 Jun), Encik Khairy berkata kes-kes HFMD mengikut musim dan menular secara tempatan.

"Lazimnya, kes-kes akan bermula dan menjadi gelombang namun selepas sebulan, jumlah kes akan berkurangan. Apabila ramai kanak-kanak terdedah kepada virus itu, daya imun mereka akan meningkat dan jumlah kes akan berkurangan," kata beliau.

Malaysia berdepan kenaikan mendadak jumlah kes HFMD tahun ini, menyusuli pembukaan semula sektor-sektor ekonomi dan sekolah-sekolah.

Pelbagai sekatan pergerakan juga dilaksanakan sejak Mac 2020 sehingga Mac 2022 untuk membendung penularan COVID-19.

Pada Selasa (7 Jun), Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 82,846 kes HFMD dilaporkan setakat minggu ke-22 epidemiologi yang berakhir pada 4 Jun.

Ia adalah kenaikan 2.7 kali ganda berbanding 30,489 kes yang dicatatkan dalam tempoh sama pada 2019 dan kenaikan 33 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu, tambah beliau.

Kes mingguan HFMD pula merosot 9.3 peratus, dari 18,688 kes dalam minggu ke-21 kepada  16,954 kes HFMD pada minggu ke-22, menurut Dr Noor Hisham.

Selangor mencatat jumlah tertinggi kes jangkitan dengan  23,305 kes disusuli oleh Kuala Lumpur, Putrajaya, Perak, Kelantan dan Johor.

Hampir 90 peratus kes yang dicatat tahun ini melibatkan kanak-kanak berusia enam tahun dan ke bawah, menurut Dr Noor Hisham lagi.

Tiga kanak-kanak dimasukkan ke Unit Jagaan Rapi (ICU), dengan dua daripada mengalami ensefalitis, iaitu keradangan otak.

Sebanyak 305 premis di negara itu sudah ditutup secara sukarela manakala 1,041 premis diarah tutup sejauh ini pada tahun ini disebabkan penyakit itu, kata Dr Noor Hisham.

Encik Khairy hari ini berkata pihaknya mempunyai teori tentang mengapa kes-kes HFMD melonjak tahun ini.

"Satu, tentu sekali prasekolah dan tajaka sudah dibuka semula. Namun jika kita bandingkan dengan 2019 sebelum pandemik, jumlah kes sangat tinggi. Selama dua tahun, kanak-kanak tidak keluar dan tidak terdedah kepada virus itu dan daya imun mereka juga merosot," ujar beliau semasa sidang media tersebut.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, gejala penyakit itu termasuk demam, ulser mulut dan ruam pada kulit, biasanya pada tangan, mulut dan kaki.

Sesetengah kanak-kanak yang dijangkiti, bagaimanapun, tidak bergejala.

Penyakit itu menular menerusi kontak secara langsung dengan cecair dari hidung dan tekak, air liur, najis dan cecair daripada luka orang yang dijangkiti.

Batuk dan bersin, berkongsi peralatan makanan atau barangan peribadi serta menyentuh permukaan yang tercemar juga boleh menjadi punca jangkitan menular.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan