Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jumlah kes HFMD di M'sia semakin turun

Anggaran Waktu Membaca:

PUTRAJAYA: Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Malaysia pada Minggu Epidemiologi 23/2022 menurun 22.9 peratus dengan 13,080 kes dilaporkan berbanding 16,954 kes minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, walaupun terdapat trend penurunan kes HFMD sejak dua minggu berturut-turut, orang awam perlu mengamalkan langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan diri dan ahli keluarga daripada dijangkiti HFMD.

Dalam pada itu, mengulas mengenai situasi HFMD secara keseluruhannya, Dr Noor Hisham berkata pada tahun ini iaitu sehingga 11 Jun lalu, 95,924 kes sudah dilaporkan, iaitu peningkatan 36 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Setakat 11 Jun lalu, Selangor menyumbang jumlah kes tertinggi berbanding negeri lain iaitu 26,799 kes (27.9 peratus) diikuti oleh Kuala Lumpur dan Putrajaya 10,739 kes (11.2 peratus).

"Selain itu ialah Perak dengan 9,744 kes (10.2 peratus), Johor 6,326 kes (6.6 peratus) dan Kelantan 6,153 kes (6.4 peratus), manakala negeri lain pelaporan kes HFMD sekitar atau kurang daripada 5,500 kes," katanya dalam kenyataan pada Selasa (14 Jun). 

"Setakat ini terdapat tiga kes HFMD yang dimasukkan ke Wad Rawatan Rapi (ICU) iaitu kes pertama dan kes kedua dimasukkan ke ICU kerana mengalami komplikasi radang otak (encephalitis) disahkan dijangkiti EV71 dan masih di bawah pemantauan rapi di ICU. Bagi kes ketiga pesakit sudah pun sihat dan dibenarkan pulang ke rumah," katanya, seperti dipetik Harian Metro. 

Dr Noor Hisham memaklumkan, sehingga kini sebanyak 1,882 wabak dilaporkan di Malaysia dan tiga negeri mencatatkan kejadian wabak tertinggi iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan 602 wabak dikesan (32 peratus), diikuti Sarawak 265 wabak (14.1 peratus) dan Selangor 233 wabak (12.4 peratus).

"Sebilangan besar lokasi penularan wabak berlaku di pusat jagaan kanak-kanak, tadika dan pra-sekolah iaitu 1,102 wabak (59 peratus) serta rumah persendirian 696 wabak (37 peratus).

"Wabak didefinisikan sebagai kejadian kes HFMD dengan jumlah kes dua atau lebih dalam satu lokaliti dan kes mempunyai kaitan epidemiologi serta berlaku dalam tempoh inkubasi penyakit HFMD," katanya, seperti dipetik Harian Metro. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan