Skip to main content

Dunia

Jumlah kes HFMD di M'sia naik 15 kali ganda

Anggaran Waktu Membaca:
Jumlah kes HFMD di M'sia naik 15 kali ganda

Pemeriksaan HFMD (Gambar: Koh Mui Fong/TODAY)

Diterbitkan : 17 May 2022 04:59PM

KUALA LUMPUR: Jumlah kes penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) di Malaysia meningkat pada kadar membimbangkan iaitu sebanyak 15 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lepas dengan 31,661 kes dilaporkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata sebanyak 7,526 kes dicatatkankan pada Minggu Epidemiologi (ME) 19/2022 yang berakhir pada 14 Mei yang menunjukkan peningkatan sebanyak 349 peratus, berbanding ME sebelumnya dengan hanya 1,676 kes di seluruh negara.

ā€œSebahagian besar lokasi penularan wabak berlaku di tadika atau prasekolah iaitu 575 wabak atau 65 peratus daripada kes keseluruhan, diikuti oleh rumah persendirian dengan 305 wabak (34 peratus) dan juga pusat jagaan kanak-kanak sebanyak 27 wabak (tiga peratus),ā€ katanya dalam kenyataan pada Selasa (17 Mei). 

Selangor menyumbang jumlah kes terbesar HFMD dengan 8,864 kes iaitu 28 peratus daripada keseluruhan, diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya - 4,421 kes (14 peratus), Sabah - 2,650 kes (8 peratus), Perak - 2,638 kes (8 peratus) dan Kelantan - 2,493 kes (7.9 peratus), sementara negeri-negeri lain melaporkan kurang daripada 1,500 kes.

Beliau berkata sebanyak 889 wabak dilaporkan di Malaysia iaitu tiga negeri tertinggi ialah Kuala Lumpur dan Putrajaya iaitu 309 wabak (35 peratus), diikuti Selangor dengan 111 wabak (12 peratus) dan Perak 105 wabak (12 peratus).

Dr Noor Hisham berkata kebanyakan kes HFMD berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah iaitu sebanyak 29,781 kes (94 peratus), diikuti kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun iaitu 1,473 kes.

Selain itu, beliau memaklumkan penyakit HFMD berkait rapat dengan amalan kebersihan diri dan persekitaran dengan kadar jangkitan dalam kalangan kanak-kanak berumur kurang dari 10 tahun hampir 100 peratus, terutama di premis tempat tumpuan kanak-kanak seperti pusat jagaan kanak-kanak, tadika atau sekolah.

Justeru, ibu bapa dan penjaga kepada kanak-kanak yang mempunyai simptom jangkitan dinasihatkan agar tidak membawa anak ke tempat awam, pusat jagaan kanak-kanak atau tadika dan membawa anak untuk mendapatkan rawatan, selain membersihkan permainan anak serta lantai rumah terutama di tandas.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita