Jumlah kes COVID-19 di Thailand dijangka meningkat selepas Songkran
BANGKOK: Biro Epidemiologi Thailand menjangkakan jumlah kes COVID-19 akan meningkat selepas Pesta Songkran.
Ini disebabkan oleh aktiviti dan perjalanan orang ramai sepanjang acara itu, menurut Jabatan Kawalan Penyakit (DDC) Thailand.
Ketua Pengarah DDC Thares Krasanairawiwong berkata, jumlah kes COVID-19 selepas Songkran mungkin lebih tinggi berbanding dengan tempoh selepas Tahun Baru apabila langkah kawalan COVID-19 dilonggarkan.
Justeru, orang ramai tidak dikehendaki mengambil ujian COVID-19 sebelum menyertai aktiviti dan tidak ramai memakai pelitup di tempat terbuka.
Tambahnya, antara 9 hingga 15 April, 435 pesakit dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan, dengan purata 62 setiap hari atau 2.5 kali ganda lebih tinggi berbanding jumlah pada minggu sebelumnya.
Daripada jumlah itu, 30 mengalami radang paru-paru dan 19 memerlukan bantuan alat pernafasan, masing-masing naik 58 peratus dan 36 peratus berbanding minggu sebelumnya.
Dua terkorban sepanjang tempoh itu dan mereka menerima dos penggalak yang terakhir lebih tiga bulan yang lalu.
Oleh demikian, golongan berisiko, seperti warga emas dan mereka yang menghidap penyakit lain, harus mendapatkan suntikan dos penggalak di jabatan khidmat perubatan berdekatan dengan rumah mereka secepat mungkin, lapor Bangkok Post, sambil menukil Dr Thares.
Timbalan Ketua Pengarah DDC Dr Sopon Iamsirithavorn berkata, kebanyakan pesakit yang dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan pada waktu ini tidak mengalami keadaan yang serius kerana mereka sebelum ini sudahpun divaksin atau mengalami jangkitan virus itu.
Selepas Songkran, orang ramai dinasihatkan supaya memantau kesihatan diri bagi tempoh sekurang-kurangnya tujuh hari dan mengelakkan kontak dengan warga emas ataupun individu yang menghidap penyakit kronik, tambah Dr Sopon.
Varian XBB.1.16 COVID-19 dikesan di 22 negara, dengan kebanyakannya dilaporkan di India.
Menurut GISAID, setakat sehingga 13 April, hampir 3,000 kes berkaitan varian XBB.1.16 dilaporkan di seluruh dunia, dengan enam di Thailand, kata Dr Sopon seperti dilaporkan Bangkok Post.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.