Jumlah kes baru COVID-19 susut 16% minggu lalu: WHO
Jumlah kes baru COVID-19 yang dilaporkan di seluruh dunia berkurangan 16 peratus minggu lalu kepada 2.7 juta, dedah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Lambang di luar sebuah bangunan WHO di Geneva, Switzerland (Gambar: REUTERS/Denis Balibouse)
GENEVA: Jumlah kes baru COVID-19 yang dilaporkan di seluruh dunia berkurangan 16 peratus minggu lalu kepada 2.7 juta, dedah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Jumlah kematian baru yang dilaporkan juga susut 10 peratus dari minggu ke minggu, kepada 81,000, umum WHO pada Selasa (16 Feb) dalam kemas kini epidemiologi yang dikeluarkan secara mingguan berdasarkan perangkaan hingga Ahad.
Lima dari enam rantau WHO di dunia melaporkan pengurangan peratusan dua angka, dengan hanya Mediterranean Timur yang menunjukkan kenaikan, sebanyak tujuh peratus.
Jumlah kes baru turun 20 peratus minggu lalu di Afrika dan Pasifik Barat, 18 peratus di Eropah, 16 peratus di benua Amerika dan 13 peratus di Asia Tenggara.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Isnin berkata jumlah kes baru berkurangan untuk minggu kelima berturut-turut, iaitu susut hampir separuh, daripada lebih lima juta kes pada minggu bermula 4 Januari.
"Ini menunjukkan bahawa langkah-langkah kesihatan awam yang mudah adalah berkesan, walaupun terdapat jenis-jenis baru koronavirus," kata Encik Tedros.
"Apa yang penting sekarang adalah bagaimana kita bertindak balas terhadap trend ini. Bahaya belum hilang, tetapi kita telah mengurangkannya. Jika kita berhenti melawannya di mana-mana pun, itu akan kembali."
Jenis koronavirus yang kali pertama dikesan di Britain dilaporkan di 94 negara pada minggu lalu setakat Isnin, menurut kemas kini epidemiologi itu, pertambahan sebanyak lapan negara.
Penularan tempatan jenis virus tersebut, berbanding kes import, dilaporkan di sekurang-kurangnya 47 negara.
Jenis COVID-19 yang kali pertama dikesan di Afrika Selatan dicatat di 46 negara, naik dua negara, dengan jangkitan tempatan di sekurang-kurangnya 12 negara tersebut.
Jenis yang dikatatkan sebagai varian Brazil pula dikesan di 21 negara, bertambah sebanyak enam, dengan penularan tempatan di sekurang-kurangnya dua negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.