Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jumlah kes baru COVID-19 Korea Selatan jangkaui 7,000 tiga hari berturut-turut

Anggaran Waktu Membaca:

SEOUL: Jumlah kes baru COVID-19 di Korea Selatan masih menjangkaui 7,000 kes sehari buat tiga hari berturut-turut pada Isnin (24 Jan), sedang para penduduk semakin bimbang terhadap penularan varian Omicron yang pantas merebak ke merata negara tersebut. 

Sebanyak 7,513 kes baru COVID-19 dilaporkan, termasuk 7,159 kes jangkitan dalam kalangan masyarakat setempat. 

Ini membawa jumlah terkumpul yang dilaporkan di Korea Selatan kepada sebanyak 741,413, menurut Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KCDA). 

Jumlah yang dilaporkan pada Isnin (24 Jan) naik hampir seganda berbanding jumlah yang dilaporkan pada Isnin lalu (17 Jan), iaitu 3,857 kes baru COVID-19. Jumlah 7,513 yang dilaporkan juga merupakan angka harian yang keempat tertinggi yang dilaporkan sejak pandemik melanda negara tersebut dua tahun yang lalu.

Omicron sudah menjadi varian COVID-19 yang dominan di Korea Selatan, menurut pemerintah, sambil menyatakan kadar pengesanan mencecah 50.3 peratus pada minggu lalu. Negara itu melaporkan sebanyak 4,840 kes baru Omicron minggu lalu, membawa jumlah keseluruhan kepada sebanyak 9,860, menurut KCDA lagi. 

"Purata harian pesakit yang disahkan mencecah 5,962, naik sebanyak 50 peratus berbanding minggu lalu, akibat varian Omicron yang mudah berjangkit," kata Menteri Dalam Negeri Jeon Hae-Cheol semasa memberikan taklimat mengenai respons pemerintah. 

"Kami akan bekerja keras untuk memberikan respons yang berkesan di daerah-daerah di mana varian Omicron dikesan, di samping menguatkuasakan dengan pantas sistem perubatan yang menumpukan perhatian kepada institut-institut perubatan am," kata Encik Jeon. 

Angka korban akibat COVID-19 setakat Isnin (24 Jan) adalah 6,565, naik 25 berbanding perangkaan pada Ahad (23 Jan). Kadar kematian kekal pada paras 0.89 peratus. 

Jumlah pesakit COVID-19 yang sakit tenat adalah seramai 418, turun 13 berbanding Ahad (23 Jan). 

Sistem respons perubatan yang baru dijangka akan memberi tumpuan kepada pengesanan awal koronavirus dan rawatan bagi kumpulan-kumpulan berisiko tinggi seperti warga tua dan mereka yang mengalami penyakit lain.

Pemerintah akan melaksanakan sistem respons perubatan yang baru pada Rabu (26 Jan) di beberapa kawasan barat daya Korea Selatan dan juga di wilayah Gyeonggi berdekatan Seoul, di mana varian Omicron sedang merebak dengan pantas, sebelum memutuskan bila ia akan menguatkuasakan sistem berkenaan untuk meliputi seluruh negara tersebut. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan