Skip to main content

Dunia

Jumlah kes baru COVID-19 di Korea Selatan turun, pemerintah longgarkan had perhimpunan privet

Anggaran Waktu Membaca:
Jumlah kes baru COVID-19 di Korea Selatan turun, pemerintah longgarkan had perhimpunan privet

Penduduk di Seoul menantikan giliran mereka di pusat ujian COVID-19 pada 17 Mac 2022. (Gambar: Jung Yeon-je/AFP)

SEOUL: Korea Selatan melaporkan jumlah kes baru COVID-19 yang lebih rendah pada Jumaat (18 Mac), berbanding 621,328 kes yang dicatatkan pada Khamis (17 Mac). 

Sebanyak 407,017 kes baru COVID-19 dicatatkan, jatuh mendadak berbanding jumlah rekod 621,328 pada Khamis.

Ini membawa jumlah keseluruhan kes kepada 8,657,609, menurut Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA). 

Penularan pesat Omicron merangsang kenaikan kes koronavirus sejak beberapa minggu lalu, dengan perangkaan mencecah enam angka pada pertengahan Februari. 

Dengan jumlah yang merosot hari ini, had enam orang bagi perhimpunan privet dilonggarkan kepada lapan orang mulai minggu depan, tidak bergantung kepada status vaksinasi, menurut Menteri Kesihatan Kwon Deok-cheol. 

Langkah tersebut berkuat kuasa selama dua minggu mulai 21 Mac. 

Pemerintah akan mempertimbangkan sama ada untuk melonggarkan lagi sekatan koronavirus sedang ia memantau dengan teliti perkembangan Omicron setelah mencapai kemuncaknya sekitar minggu depan, kata Timbalan Menteri Kesihatan Lee Ki-il dalam satu taklimat media berasingan. 

Seoul melaporkan 81,997 kes baru, manakala wilayah Gyeonggi dan Incheon masing-masing melaporkan 113,673 dan 25,797 kes. 

Setakat Jumaat, 62.9 peratus penduduk sudah menerima suntikan dos penggalak, manakala 86.6 peratus penduduk sudah lengkap divaksin, menurut KDCA. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita