Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jumlah kes baru COVID-19 di Korea Selatan cecah paras terendah dalam 5 bulan

Anggaran Waktu Membaca:
Jumlah kes baru COVID-19 di Korea Selatan cecah paras terendah dalam 5 bulan

(Gambar: Jung Yeon-je/AFP)

Diterbitkan : 20 Jun 2022 10:45AM Dikemas Kini : 20 Jun 2022 10:45AM

SEOUL: Jumlah kes baru COVID-19 di Korea Selatan merosot ke paras terendah dalam masa lebih lima bulan pada Isnin (20 Jun), yang sebahagiannya mungkin disebabkan oleh ujian yang berkurangan pada hujung minggu lalu. 

Ini sekali gus memberikan petunjuk yang jelas bahawa penularan Omicron kini semakin lebih perlahan, lapor agensi berita Yonhap. 

Korea Selatan mencatatkan 3,538 kes baru COVID-19, termasuk 96 kes import. 

Ini menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 18,280,090, menurut Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA). 

Perangkaan pada Isnin (20 Jun) juga merupakan yang terendah sejak 3,094 kes dilaporkan pada 11 Januari. Jumlah kes harian lazimnya lebih rendah pada hari Isnin disebabkan oleh kekurangan ujian yang dijalankan pada hujung minggu. 

KDCA melaporkan 10 lagi kematian akibat jangkitan COVID-19, menjadikan angka korban kini sebanyak 24,451. 

Kadar kematian mencecah 0.13 peratus.

Seramai 72 pesakit sakit tenat, naik daripada 70 pada Sabtu (18 Jun). 

Penularan Omicron yang semakin perlahan menyebabkan jumlah kes harian terus merosot sejak awal bulan ini setelah Korea Selatan dilanda gelombang paling dahsyat dengan lebih 620,000 kes dilaporkan pada pertengahan Mac. 

Namun, pemerintah pada Jumaat (17 Jun) memutuskan untuk terus mewajibkan tempoh pengasingan diri selama tujuh hari bagi pesakit COVID-19 dan ia akan dikuatkuasakan selama empat minggu lagi sehingga 17 Julai kerana terdapat risiko berlaku satu lagi gelombang penularan koronavirus.

Memansuhkan tempoh pengasingan diri akan menandakan satu langkah penting ke arah usaha untuk kembali kepada kehidupan sebelum pandemik melanda, sedang Korea Selatan menarik balik sebahagian besar langkah penjarakan sosial, kecuali pemakaian pelitup, sejak pertengahan April.

Menurut para pegawai, kadar kematian mingguan harus kekal di bawah 100 dan kadar kematian perlu turun ke paras bawah 0.1 peratus untuk langkah pengasingan diri ditarik balik. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa