Skip to main content

Dunia

Jumlah kematian COVID-19 Amerika Latin sudah lepasi angka korban Amerika Utara

Jumlah kematian akibat jangkitan COVID-19 di Amerika Latin sudah melepasi angka korban di Amerika Utara buat pertama kali sejak pandemik tersebut mula menular, menurut perangkaan Reuters pada Isnin (13 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Jumlah kematian COVID-19 Amerika Latin sudah lepasi angka korban Amerika Utara

(Gambar: Agensi berita)

Diterbitkan : 14 Jul 2020 12:57PM Dikemas Kini : 14 Jul 2020 01:03PM

SANTIAGO: Jumlah kematian akibat jangkitan COVID-19 di Amerika Latin sudah melepasi angka korban di Amerika Utara buat pertama kali sejak pandemik tersebut mula menular, menurut perangkaan Reuters pada Isnin (13 Julai).

Amerika Latin semalam (13 Julai) melaporkan sekurang-kurangnya 144,680 kematian sejauh ini, berbanding 143,847 kematian di Amerika Utara - merangkumi Kanada dan Amerika Syarikat - menurut kiraan Reuters berdasarkan perangkaan rasmi.

Kes pertama yang disahkan dijangkiti COVID-19 dilaporkan selang sehari di kedua-dua benua Amerika itu pada lewat Februari lalu, dengan kes pertama di Kanada, yang kemudian disusuli oleh Amerika Syarikat dan Mexico.

Pada awalnya, Amerika Syarikat dan Kanada berdepan dengan peningkatan yang lebih mendadak bagi jumlah kes yang dilaporkan.

Namun, Amerika Latin kini terkial-kial untuk membendung penularan virus itu selepas ia merebak di daerah-daerah penduduk mewah, di mana virus itu pertama kali dikesan. Biasanya, kes-kes tersebut melibatkan para pesakit yang baru pulang dari luar negara.

Gabungan masalah kemiskinan yang meruncing, buruh haram dan sistem jagaan kesihatan yang lemah, terutamanya di daerah-daerah terjejas, menyumbang kepada penularan tersebut.

Pemimpin dari dua negara dengan jumlah penduduk paling ramai di benua itu, Presiden Brazil Jair Bolsonaro dan Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador pada awalnya tidak memandang serius terhadap kemudaratan virus tersebut.

Amerika Syarikat kekal sebagai negara dengan angka korban tertinggi, mencatat 135,055 kematian secara keseluruhannya, disusuli oleh Brazil dengan 72,100 kematian.

Mexico dan Peru adalah antara 10 negara dengan angka korban tertinggi di dunia, sementara Chile, Colombia dan Ecuador masing-masing melaporkan lebih 5,000 kematian.

Jumlah kes jangkitan COVID-19 di merata dunia sudah melepasi 13 juta pada Isnin (13 Julai), menurut perangkaan Reuters, mencatat satu lagi paras yang membimbangkan pada penularan virus COVID-19, yang meragut nyawa lebih separuh juta orang dalam masa tujuh bulan. Perangkaan itu menunjukkan bahawa virus tersebut menular pada rentak yang pantas di Amerika Latin.

Kes pertama COVID-19 dilaporkan di China pada awal Januari dan mengambil masa tiga bulan sebelum jumlah kes jangkitan di merata dunia mencecah paras satu juta. Ia mengambil masa hanya lima hari saja untuk meningkat ke paras 13 juta kes dari 12 juta kes yang dilaporkan pada 8 Julai.

Jumlah kes jangkitan COVID-19 sejauh ini adalah sekitar dua kali ganda jumlah kes influenza teruk yang disahkan di merata dunia setiap tahun, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Reuters/AY/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita