Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jumlah jemaah Indonesia tertinggi dalam kalangan 1.2 juta jemaah umrah musim ini

Anggaran Waktu Membaca:
Jumlah jemaah Indonesia tertinggi dalam kalangan 1.2 juta jemaah umrah musim ini

(Gambar hiasan: Abdel Ghani Bashir/AFP)

MAKKAH: Setakat Selasa (4 Okt), seramai 1,267,490 jemaah Umrah tiba di Arab Saudi sejak bermulanya musim Umrah pada 1 Muharram 1444H, bersamaan 30 Julai 2022. 

Sebahagian besar jemaah, iaitu seramai 880,929, tiba menerusi perjalanan udara, menurut Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi. 

Para jemaah dari Indonesia, iaitu negara dengan penduduk paling ramai beragama Islam, menduduki tempat pertama dalam kalangan negara yang menghantar jumlah jemaah tertinggi, lapor Saudi Gazette. 

Seramai 317,200 jemaah Indonesia tiba di Arab Saudi untuk menunaikan Umrah bagi musim ini. Pakistan pula di tempat kedua dengan 195,224 jemaah, manakala India di tangga ketiga dengan 133,517 jemaah, disusuli oleh Iraq dengan 86,803 jemaah. 

Sebanyak 470 syarikat dan pertubuhan di Saudi diberikan lesen untuk menyediakan khidmat kepada pelawat dan jemaah Umrah sepanjang musim Umrah selama 10 bulan yang berakhir pada 29 Zulkaedah, sejurus sebelum musim Haji. 

Arab Saudi melanjutkan tempoh visa Umrah dari satu bulan kepada tiga bulan dan para jemaah dibenarkan melawat mana-mana tempat di Saudi sepanjang tempoh visa mereka. Tempoh visa itu akan berakhir sebelum tiga bulan sekiranya ia bertindih dengan musim Haji. 

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menekankan betapa pentingnya syarikat-syarikat dan pertubuhan-pertubuhan Umrah untuk kekal komited menyediakan semua pakej perkhidmatan yang diperlukan kepada para jemaah, dengan matlamat untuk meningkatkan mutu khidmat dalam sektor berkenaan, serta memudahkan perjalanan jemaah bagi mencapai matlamat Visi Saudi 2030. 

Jelas kementerian tersebut pada Selasa (4 Okt), semua syarikat dan pertubuhan diwajibkan memberikan permit kepada jemaah untuk mendirikan Umrah dan solat di Raudah Sharif di Masjid Nabawi di Madinah, dan mengelolakan urusan jemaah ke Masjidil Haram, sejajar dengan waktu yang dibenarkan dalam permit mereka. 

Prosedur ini turut termasuk mereka yang ingin menunaikan Umrah sekali lagi sepanjang tempoh mereka masih berada di Makkah. 

Tambah kementerian itu, ia akan terus memantau tahap dan piawai perkhidmatan, serta komitmen syarikat dan pertubuhan yang menyediakan khidmat kepada para jemaah menerusi pemeriksaan berkala dan pemantauan berautomasi yang intensif. 

Pasukan kementerian berkenaan turut diarahkan supaya memantau sebarang pelanggaran peraturan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap para pelaku. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan