Skip to main content

Dunia

Jumlah bacaan seharian pengguna Twitter dibataskan, umum Elon Musk

Anggaran Waktu Membaca:
Jumlah bacaan seharian pengguna Twitter dibataskan, umum Elon Musk

Logo Twitter logo dan CEO Tesla, Elon Musk. (Gambarr-gamabar:Richard Drew/AP dan Patrick Pleul/AFP)

SAN FRANCISCO: Pengguna Twitter kini hanya diberi akses terbatas sementara untuk membaca kandungan dalam akaun media sosial itu setiap hari.

Pada Sabtu (1 Jul) pemilik syarikat Twitter, Elon Musk menegaskan batasan sementara terhadap jumlah kicauan yang pengguna dapat baca dalam sehari terikat pada 600 kandungan bagi pemilik akaun yang belum memperoleh pengesahan status atau akaun yang disahkan (VA).

Pemilik akaun baru dan belum menerima VA pula terikat pada 300 kandungan sahaja, lapor Astro Awani.

Namun begitu, pemilik akaun berstatus VA berpeluang membaca 6,000 kandungan dalam sehari.

Menurut Encik Musk, langkah mengenakan batasan sementara itu dilaksanakan bagi mengatasi isu “kenaikan secara ekstrem pemindahan data dan manipulasi sistem.”

Encik Musk, bagaimanapun, tidak pula menjelaskan maksud di sebalik manipulasi sistem dalam konteks itu.

Pemindahan data secara relatifnya merujuk kepada proses maklumat yang diambil dari sesuatu laman web dipindahkan ke program lain.

“Data kami dirompak sehingga menjejaskan perkhidmatan kami,” kata Encik Musk.

Beliau menggambarkan langkah terbaru yang dilakukan Twitter itu sebagai "tindakan darurat sementara."

Selepas mengumumkan akses terbatas sementara pada hari Sabtu, Encik Musk kemudian mengumumkan jumlah bacaan kandungan dalam sehari akan dinaikkan kepada 800 kicauan bagi pemilik akaun yang belum memperoleh VA, 400 untuk pemilik akaun baru yang belum mendapat VA dan 8,000 kandungan untuk akaun yang sudah memperoleh VA, seperti dinukil laporan Astro Awani.

Dilabel dengan tanda biru, status akaun VA pada awal pengenalannya diberikan secara percuma kepada pemiliknya sebelum Encik Musk membeli syarikat pengendali akaun media sosial itu.

Namun kini, sebahagian besar daripada pengguna twitter perlu membayar langganan yang bermula dengan AS$8 (S$11) setiap bulan hanya untuk mendapat VA dan berpeluang memperoleh status itu tanpa perlu profil mereka dipantau.

Pada Oktober tahun lalu, Encik Musk yang tersenarai sebagai individu terkaya di dunia membeli Twitter pada harga AS$44 bilion (S$59 bilion).

Setelah membelinya, pemilik syarikat kenderaan elektrik Tesla itu mengurangkan jumlah kakitangan Twitter daripada 8,000 kepada sekitar 1,500 orang sahaja
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita