Jumlah anggota Kabinet cerminkan cabaran besar negara, kata Menteri Kanan M'sia Azmin Ali
Jumlah besar anggota Kabinet di bawah pentadbiran Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin mengambil kira cabaran besar yang dihadapi negara itu pada masa ini, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali.
(Gambar: BERNAMA)
PUTRAJAYA: Jumlah besar anggota Kabinet di bawah pentadbiran Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin mengambil kira cabaran besar yang dihadapi negara itu pada masa ini, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata cabaran besar yang dihadapi negara memerlukan tenaga, pemikiran dan kesatuan fikrah untuk membantu Perdana Menteri mentadbir kerajaan dengan lebih berkesan agar dapat memberikan khidmat terbaik buat rakyat.
"Mungkin dari segi jumlah, besar, namun kita harus mengambil maklum bahawa cabaran hari ini juga besar. Sudah tentu kita mahu sebuah kerajaan yang menjalankan pengurusan secara berhemah tetapi dalam masa sama kerana tugasan itu amat berat, bukan saja cabaran domestik tetapi cabaran rantau dan global.
"Satu pasukan baharu diperlukan dan ia melibatkan golongan teknokrat, profesional dan pakar-pakar dalam bidang-bidang tertentu," ujar Encik Azmin ketika ditemui selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Melawati di Putrajaya pada Selasa (10 Mac).
Ahli Parlimen Gombak itu yakin rakyat dapat memahami keperluan Perdana Menteri untuk melantik anggota Kabinet yang ramai.
"Yang penting, kerajaan ini adalah kerajaan yang peduli rakyat dan akan memberi perhatian khusus kepada masalah rakyat. Saya yakin dengan kewibawaan dan integriti Tan Sri Muhyiddin, beliau mampu memimpin sebuah kerajaan yang berintegriti, berwibawa dan peduli rakyat," kata beliau.
Menteri Kanan merangkap Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob pula berkata barisan Kabinet Persekutuan yang besar kali ini diwujudkan untuk memenuhi keperluan situasi negara ketika ini.
Jelasnya, isu ketidaktentuan ekonomi dan perpaduan adalah antara perkara utama yang perlu diberi perhatian khusus oleh barisan Kabinet baharu dalam memastikan kesejahteraan rakyat majmuk di negara itu.
“Isu perpaduan merupakan isu yang besar sebab itu diwujudkan Kementerian Perpaduan. Kalau dulu perpaduan di bawah Jabatan Perdana Menteri.
"Mungkin kali ini fokusnya adalah perpaduan kerana keperluannya perlu diatasi dengan segera,” kata Ahli Parlimen Bera itu.
Bagi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin, bilangan besar barisan Menteri Kabinet Persekutuan kali ini diperlukan bagi membolehkan kerajaan baharu perikatan dapat menguruskan pentadbiran negara dengan cekap.
"Masa yang kita ada hanyalah tiga tahun dan ada kementerian yang besar, banyak tugasannya seperti Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan. Sudah tentu, ada tambahan menteri dan timbalan menteri," jelas beliau.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan Dr Wee Ka Siong berkata kerajaan perlu sentiasa memastikan kepentingan rakyat dijaga dengan baik.
"Tidak kira saiz kabinet ni macam mana, yang penting adalah fungsi susunan kerja menteri itu sama ada kita dapat mencapai kata sepakat dan membuat penyampaian terbaik untuk rakyat jelata. Itu saya rasa faktor yang perlu dipertimbangkan," tekan beliau.
Pada Isnin (9 Mac), Encik Muhyiddin mengumumkan kabinetnya merangkumi 31 menteri dan buat pertama kalinya dalam sejarah, tidak menamakan timbalan perdana menteri.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.