Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jualan Tupperware merosot dengan ketara; mungkin jatuh muflis dan gulung tikar

Anggaran Waktu Membaca:
BBC: Jenama Tupperware sangat terkenal dan digemari ramai sebagai jenama bekas makanan yang sangat popular sehinggakan ramai orang menggunakan jenama itu apabila merujuk kepada apa sahaja bekas plastik.

Syarikat yang sudah wujud selama 77 tahun itu kini berdepan dengan beberapa isu genting, seperti hutang yang semakin menggunung dan kemerosotan penjualan, yang mencetuskan amaran bahawa ia mungkin jatuh muflis jika tidak menerima sebarang pelaburan, lapor BBC.

Meskipun terdapat usaha untuk memperbaharui produk-produknya sejak beberapa tahun kebelakangan ini bagi memikat golongan lebih muda, ia tetap gagal untuk mengelakkan kemerosotan pada penjualannya.

'Parti Tupperware' syarikat itu menjadi ikon sewaktu revolusi pengguna pada tahun 1950-an dan 1960-an dan bekasnya yang kedap udara dan kedap air menggemparkan pasaran ketika itu.

Namun, model perniagaan utamanya yang menggunakan penjual yang bekerja sendiri dari rumah mereka, sudah agak lapuk dan dihentikan sepenuhnya di United Kingdom (UK) pada 2003, menurut BBC.

Kini, bos-bos syarikat itu mengakui, tanpa pelaburan baru, jenama itu mungkin akan hilang dari pasaran.

"Kami menggunakan nama Tupperware sebagai satu kata nama. Ia agak janggal buat sesebuah jenama," kata Catherine Shuttleworth, pengasas syarikat analisis runcit Savvy Marketing.

"Saya rasa ramai anak muda terkejut yang ia sebenarnya satu jenama."

Walaupun Tupperware merupakan satu "produk magis" apabila dijual buat pertama kali beberapa dekad yang lalu, tambah Cik Shuttleworth, dengan pasaran dibanjiri syarikat-syarikat yang menawarkan alternatif lebih murah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Peningkatan penjualan sewaktu pandemik COVID-19 didorong oleh orang ramai yang mula memasak dan membuat kuih di rumah, memulihkan harga saham Tupperware yang mengalami kemerosotan yang mendadak sebelum itu.

Walau bagaimanapun, kenaikan itu hanya sementara.

Sejak itu, penjualannya merosot, sebahagian besarnya kerana syarikat itu tidak "cukup inovatif" sepanjang 10 hingga 20 tahun yang lalu untuk bersaing dengan pesaing-pesaingnya, kata Cik Shuttleworth kepada BBC.

Saham Tupperware menjunam pada Isnin (10 Apr) dan walaupun pulih sedikit pada Selasa (11 Apr), terdapat kebimbangan, tanpa sokongan kewangan, Tupperware mungkin akan gulung tikar.
Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan