Skip to main content

Dunia

Jualan Hyundai Motor di pasaran Eropah meningkat meski terjejas tarif Amerika

Anggaran Waktu Membaca:
Jualan Hyundai Motor di pasaran Eropah meningkat meski terjejas tarif Amerika

Gambar fail.

Diterbitkan : 20 Oct 2025 08:17AM Dikemas Kini : 20 Oct 2025 08:18AM
SEOUL: Jualan Hyundai Motor Co. di pasaran Eropah mencatat peningkatan dalam beberapa bulan kebelakangan ini walaupun syarikat itu berdepan kesukaran di Amerika Syarikat menyusuli pelaksanaan tarif, menurut data yang dikeluarkan pada Ahad (19 Okt), lapor Agensi Berita Yonhap.

Di Austria, Hyundai Motor menjual 1,966 kereta penumpang pada September, meningkat 102 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, sekali gus menduduki tempat ketiga dalam pegangan pasaran dengan 7.6 peratus, menurut laporan hubungan pelabur syarikat itu.

Model utiliti sukan (SUV) utama Hyundai, Tucson, menjadi model paling laris dengan 455 unit terjual bulan lalu.

Secara kumulatif, jualan dari Januari hingga September meningkat 28 peratus tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu, kepada 8,604 unit.

Hyundai Motor menjual 11,354 kereta di Austria tahun lalu, berada di kedudukan keenam.

Di Jerman, SUV elektrik besar Hyundai, Ioniq 9, dinobatkan sebagai kereta premium terbaik oleh Anugerah Kereta Terbaik Jerman 2026, mengatasi jenama mewah lain seperti Mercedes-Benz dan BMW.

Model itu menerima pengiktirafan berprestij berkenaan hanya tiga bulan selepas dilancarkan di pasaran Eropah.

Hyundai Motor merancang untuk terus mengukuhkan kehadirannya di Eropah melalui rangkaian kenderaan elektrik (EV) dan model enjin petrol yang disesuaikan dengan permintaan tempatan, termasuk model kompak i20 dan i10.

“Kami akan memperluas pegangan pasaran di Eropah dengan model yang direka khusus untuk rantau ini,” kata seorang pegawai Hyundai.

“Kami juga bercadang memperluas barisan kenderaan mesra alam dan SUV bagi memenuhi keperluan pelanggan Eropah dengan lebih baik.”

Sementara itu, Hyundai Motor mencatat penurunan 22 peratus dalam keuntungan bersih suku kedua, walaupun jualan meningkat 7.3 peratus tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu, berikutan kesan daripada tarif 25 peratus ke atas kenderaan buatan Korea Selatan yang berkuat kuasa pada April lalu.
Sumber : Bernama/IM/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita