Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jualan durian di M'sia terjejas teruk dicengkam sekatan COVID-19

Permintaan bagi buah durian terus lembap di Malaysia, di tengah-tengah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlarutan sehingga para pedagang terpaksa lebih bergantung kepada selera China untuk menjual buah yang dianggap sebagai "paling busuk di dunia" itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Jualan durian di M'sia terjejas teruk dicengkam sekatan COVID-19

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 17 Feb 2021 10:57PM Dikemas Kini : 17 Feb 2021 10:59PM

RAUB, Pahang: Permintaan bagi buah durian terus lembap di Malaysia, di tengah-tengah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlarutan sehingga para pedagang terpaksa lebih bergantung kepada selera China untuk menjual buah yang dianggap sebagai "paling busuk di dunia" itu.

Para penggemar "raja buah", yang tumbuh di Asia Tenggara itu, menggemari rasa pahit-pahit manis dan teksturnya yang lembut berlemak meskipun pengkritik membandingkan baunya dengan sampah yang busuk. Malah, buah berduri itu diharamkan daripada dibawa masuk ke kebanyakan hotel dan juga pengangkutan awam.

Semasa PKP pertama dilaksanakan di Malaysia, jumlah permintaan bagi buah durian tidak begitu teruk terjejas tetapi penularan semula COVID-19 menyebabkan pihak berkuasa melaksanakan sekali lagi sekatan buat jangka lebih panjang. Ini sekali lagi menjejas ekonomi Malaysia dan membantutkan pertumbuhan industri durian.

Dengan gerai-gerai di tepi jalan, di mana orang ramai biasanya membeli dan memakan buah durian, lengang dan sepi tanpa pelanggan, penjualannya merudum.

"Jika dibandingkan dengan tahun lalu, penjualan tempatan (tahun ini) tidak sebaik itu," kata Encik Eric Chan, pedagang yang juga pengarah urusan Dulai Fruits Enterprise kepada AFP.

Bagi sebuah ladang di Raub, Pahang, kebanyakan buah duriannya, akan diterbangkan ke China, di mana virus COVID-19 pertama kali menular tetapi sudah dapat dibendung. Negara itu juga sudah mula mencatat pertumbuhan ekonomi.

"Jika tiada eksport atau tidak ada bekalan untuk dieksport, saya rasa (senario ini) akan melumpuhkan seluruh industri," kata Pengarah Urusan Top Fruits, Tan Sue Sian.

Perdagangan durian melonjak tinggi sejak sedekad lalu, sebahagian besarnya didorong oleh permintaan tinggi dari China, dengan harga buah yang dahulunya murah kini dijual pada harga RM60 (S$19.74) atau lebih sekilo.

Buah durian pernah dieksport ke China hanya dalam bentuk isinya dan pes tetapi pada 2019 para pegawai di sana membenarkan penghantaran buah itu dalam keadaan beku, sekali gus merancakkan industri tersebut.

Buah durian boleh ditemui di Malaysia sepanjang tahun, meskipun ada musimnya pada tempoh-tempoh tertentu. 

Sumber : AFP/NK/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan