Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

AS jual minyak yang dirampas dari Iran kepada Venezuela untuk AS$40 juta

Amerika Syarikat mengumumkan pada Khamis (29 Okt) bahawa ia telah menjual minyak Iran yang disita dalam perjalanannya ke Venezuela pada harga lebih AS$40 juta (S$54.58 juta).

Anggaran Waktu Membaca:
AS jual minyak yang dirampas dari Iran kepada Venezuela untuk AS$40 juta

Bella, satu daripada 4 tanki minyak dalam perjalanan dari Iran ke Venezuela yang AS dakwa rampas pada Ogos 2020. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 30 Oct 2020 12:53PM Dikemas Kini : 30 Oct 2020 01:04PM

WASHINGTON: Amerika Syarikat mengumumkan pada Khamis (29 Okt) bahawa ia telah menjual minyak Iran yang disita dalam perjalanannya ke Venezuela pada harga lebih AS$40 juta (S$54.58 juta).

Washington mengumumkan pada Ogos bahawa ia telah merampas 1.1 juta tong minyak dari empat kapal tangki dalam perjalanan antara kedua-dua negara, yang kedua-duanya di bawah sekatan Amerika Syarikat.

"Kami menganggarkan bahawa lebih AS$40 juta (S$54.58 juta) akan diraih oleh Amerika Syarikat berkaitan penjualan petroleum dari empat kapal tersebut," kata Michael Sherwin, pemangku peguam Amerika Syarikat untuk Daerah Columbia, kepada wartawan melalui telefon.

Beliau berkata "sebahagian besar" akan disumbangkan kepada dana Amerika Syarikat untuk mangsa-mangsa "pengganasan yang ditaja pemerintah."

Mahkamah Amerika Syarikat mengarahkan Iran untuk membayar ganti rugi bagi serangan-serangan yang dilakukan, terbaru pada Julai apabila seorang hakim mengarahkan Tehran membayar AS$879.1 juta (S$1.20 bilion) bagi pengeboman 1996 di Arab Saudi yang membunuh 19 orang tentera udara Amerika Syarikat.

Iran menafikan pihaknya bertanggungjawab dan menegaskan ia tidak merancang untuk membuat pembayaran itu, sambil menyatakan bahawa Amerika Syarikat sebaliknya patut membayar ganti rugi bagi serangan-serangan masa lalu termasuk sokongannya terhadap Saddam Hussein dalam Perang Iran-Iraq.

Venezuela memiliki simpanan minyak terbesar di dunia namun ekonominya dan prasarananya musnah sehingga ia mengalami gangguan elektrik dan memerlukan bantuan dari Iran, yang dibayarnya dalam bentuk emas.

Presiden Donald Trump sedang berusaha untuk melemahkan pengaruh Iran di rantau itu dan untuk menumbangkan pemimpin sayap kiri Venezuela, Nicolas Maduro.

Beberapa hari sebelum pilihan raya yang menyaksikan persaingan antara Encik Trump dengan calon Demokrat Encik Joe Biden yang memilih saluran diplomasi dengan Iran, pentadbiran Encik Trump telah meningkatkan lagi tekanan.

Pada Khamis, Jabatan Perbendaharaan mengumumkan sekatan terhadap lapan entiti yang berpangkalan di Iran, China dan Singapura kerana mengeksport produk petrokimia.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan